
Penempatan haram Rohingya di Selangor didalangi warga tempatan yang menyembunyikan mereka di tanah persendirian sejak berbelas tahun lalu.
SHAH ALAM, 3 Ogos – Antara cabaran terbesar yang dikenal pasti dalam menangani penempatan haram dan aktiviti warga asing di Selangor ialah kewujudan ‘tali barut’ di kalangan rakyat tempatan yang melindungi serta bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk etnik Rohingya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keadaan itu berlaku apabila segelintir rakyat tempatan mengambil keselamatan terhadap golongan berkenaan yang terdesak untuk tinggal dan mencari rezeki di negeri ini.
Malah katanya, ia berlarutan apabila masih terdapat individu tempatan yang bersimpati dalam membeli barangan serta menjual lesen perniagaan kepada mereka.
“Sebahagian komuniti kita bekerjasama dengan mereka. Di kawasan saya (Sungai Tua, Gombak) berapa kali kita buat operasi, penjualan barangan di kawasan pasar,ada peniaga tempatan bising.
“Ada ‘local element’ yang mempertahan dan melindungi mereka, inilah cabaran yang besar. Jadi penguatkuasaan harus juga dilibatkan bukan hanya kepada yang terbabit tetapi kepada mereka yang terlibat dan bersekongkol dan mengambil kesempatan daripada keterdersakan mereka untuk tinggal, hidup.
“Keterdesakan itu telah membuat mereka terlibat dengan kerja kotor, bahaya,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Johan Abd. Aziz (BN – Dusun Tua) mengenai kebanjiran PATI dan etnik Rohingya.
Amirudin yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua memaklumkan berkemungkinan terdapat rangkaian tertentu yang menyokong aktiviti mereka dengan laporan perlu dikemukakan perlu dikemukakan agar tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan.
“Saman-saman itu mereka boleh bayar, tidak mungkin mereka yang menjadi pelarian di sini, mampu membayar jumlah saman yang besar. dan saya anggarkan mungkin ada rangkaian yang tidak wajar dekat belakang yang menyokong mereka,” katanya.
Beliau menegaskan pendirian kerajaan negeri kekal jelas iaitu tidak pernah membenarkan PATI memiliki aset atau memperoleh lesen perniagaan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat kes mereka menyewa tanah atau premis daripada pemilik tempatan, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan.
“Kita ambil tindakan terhadap tuan tanah dan mengarahkan tanah dipulihkan mengikut status asal. Kadang-kadang kita ambil tindakan seperti meroboh, esok dia bina balik. Itu antara kekangan kita,” jelasnya.


No comments:
Post a Comment