PM Anwar Bincang Dengan Presiden Iran, Gencatan Senjata Perlu Jaminan Kukuh Demi Keamanan

 




Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia mengambil pendirian bahawa sebarang usaha gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulangi kitaran keganasan.

Menerusi hantaran di media sosial ketika Perdana Menteri mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, Anwar berkata, pengalaman lalu berkaitan gencatan senjata membuktikan perkara itu sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lubnan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada 26 Mac 2026. Foto PMO

“Pengalaman lalu membuktikan bahawa gencatan senjata tanpa jaminan kukuh hanya akan mengulang kitaran keganasan, sebagaimana yang berlaku di Gaza dan Lubnan.

“Justeru, usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan,” ujarnya.

Beliau berkata Malaysia percaya keamanan sejati menuntut penyelesaian yang tuntas, demi menjamin keselamatan semua pihak serta memulihkan maruah kemanusiaan di rantau Asia Barat.

Anwar turut mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding secara terbuka, dengan syarat penamatan perang secara muktamad.

“Saya telah berhubung dengan Presiden Republik Islam Iran, Masoud Pezeshkian, bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung konflik Asia Barat yang kian meruncing.

Anwar pada masa sama turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh rakyat Iran atas kehilangan besar kepimpinan tertinggi itu, termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, selain nyawa rakyat tidak berdosa, termasuk kanak-kanak dan orang awam.

Katanya, pada masa sama, beliau menegaskan, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran.

“Malaysia turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik ini.

“Malaysia mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam, kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa, prinsip kemanusiaan dan nilai keadilan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik pada 26 Mac 2026. Foto PMO

Tambahnya lagi, dalam perbualan itu, Masoud turut menyuarakan penghargaan susulan pendirian Malaysia.

Anwar berkata Malaysia akan terus memperkukuh solidariti terhadap Iran dan rakyatnya.

“Sama-sama kita doakan agar konflik di Asia Barat dapat menemui jalan damai dengan kadar segera,” katanya.\



No comments: