PM Anwar Sokong Usaha Perdamaian Pakistan-Afghanistan

 


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon dengan PM Pakistan, Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund pada 18 Oktober 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, konflik berpanjangan di antara Afghanistan dan Pakistan mesti diselesaikan secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog ketika menghubungi rakan sejawatnya di Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif.

Perdana Menteri yang turut menghubungi Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund menegaskan, Malaysia memandang serius peningkatan ketegangan di sempadan kedua-dua negara terbabit dengan peperangan hanya menambah sengsara rakyat dan menggugat keamanan di rantau ini.

“Lewat malam tadi, saya menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

“Saya menegaskan kepentingan untuk mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog, demi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut memberi komitmen untuk teguh bersama Pakistan dan Afghanistan serta komuniti antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Katanya, Malaysia akan tetap menyokong usaha memperkukuh semangat persaudaraan Islam dan segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan kerajaan Qatar.

No comments: