
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abang Johari ketika mengadakan pertemuan rasmi bersama kepemimpinan tertinggi PETRONAS dan Petros di Perdana Putra pada 9 Mei 2025. Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
PUTRAJAYA, 9 Mei – Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memuktamadkan prinsip asas dalam masa terdekat seperti yang dipersetujui sebelum ini untuk mempermudahkan rundingan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Perkara itu dimuktamadkan dalam satu pertemuan rasmi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg bersama barisan kepemimpinan tertinggi PETRONAS dan Petros di Perdana Putra, hari ini.
Menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), ia memaklumkan langkah itu penting dalam memastikan potensi besar yang dikenal pasti daripada kerjasama antara dua entiti berkenaan dapat diteroka secara menyeluruh dan dilaksanakan dengan berkesan.
“Ini termasuklah menyegerakan pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN.
“YAB Perdana Menteri dan YAB Premier Sarawak juga mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan semua isu berbangkit sebelum ini melalui rundingan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, ia berlangsung dalam suasana mesra yang harmoni berteraskan semangat Persekutuan.
Pada 4 Mei lalu, Anwar memberi jaminan isu PETRONAS dan Petros akan dimuktamadkan segera sebaik sahaja Abang Johari kembali dari lawatan rasmi ke London, United Kingdom.
Kerajaan Sarawak sebelum ini mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat PETRONAS, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) atas dakwaan kononnya melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

No comments:
Post a Comment