Dzuklkarnain Al Abyani
1. Kenapa orang muda sekarang mudah panas baran? Sikit-sikit nak bergaduh, nak bertumbuk. Dengan orang tua pun nak bergaduh juga.
2. Hari tu saya undur kereta nak masuk parkir. Dah tengok kanan kiri, cermin sisi dan cermin pandang belakang, laluan kosong. Kamera papan pemuka pun tunjuk tak ada apa-apa.
3. Sebaik saya undur, tiba-tiba muncul sebuah kereta dari arah kanan. Hampir-hampir kami berlanggar. Nasib baik saya sempat brek dan tak jadi apa-apa.
4. Pemandu kereta tadi keluar kereta dan marah-marah. Saya dipersalahkan. Saya minta maaf walaupun mungkin pemandu itu bersalah kerana terus bergerak walaupun nampak saya sedang mengundur.
5. Berkali-kali saya minta maaf, tapi saya nampak kemarahannya tidak mereda. Sehinggalah isterinya membuka cermin tingkap dan meminta maaf pula kepada saya, barulah pemandu tadi nampak menyejuk.
6. Kalaulah saya juga panas baran dan layan ego saya, mungkin kami akan bertumbuk. Apatah lagi jika kes kami berpanjangan sampai masuk fail polis, tentu lebih gawat.
7. Jika tak berlaku apa-apa, cukuplah saling meminta maaf. Jika berlaku apa-apa sekalipun, apa salahnya diselesaikan secara baik melalui perundingan atau saluran undang-undang.
8. Tak perlu tunjuk hero, menengking-nengking atau ajak bertumbuk. Meskipun kita muda dan saingan kita tua (macam saya misalnya), belum tentu kalau bertumbuk, orang muda boleh menang.
9. Jangan main-main dengan orang tua. Mungkin tenaganya kurang, tapi dia ada buah atau jurus rahsia yang akan diguna dalam situasi terdesak. ๐
10. Orang muda mesti melatih diri untuk bersabar dan jangan mengikut nafsu. Jika berbadan kekar sekalipun, kekaran itu bukan diguna untuk bertumbuk hanya kerana kesalahan yang tidak disengajakan.
11. Ya, jika berlaku kemalangan, kenderaan rosak, duit habis dan urusan hidup harian terganggu. Namun tak perlulah sampai bergaduh dan bertumbuk sehingga memberi kredit kepada syaitan yang mahu anak cucu Adam bergaduh sesama sendiri.
12. Orang muda mesti banyak bersabar. Usah berasa kuat dan hebat. Kalau menang bertumbuk dengan orang tua, di mana hebatnya?
13. Hari ini, mungkin orang lain tersalah. Dan kita rasa kita berhak menumbuk orang lain kerana kesalahannya itu.
14. Besok lusa mungkin kita pula tersalah. Adakah kita rela pula untuk ditumbuk kerana kesalahan kita?
15. Bukanlah kekuatan itu menang bergusti, tetapi kekuatan sebenar ialah keupayaan mengawal marah.
Zola,
15082024