PMX JELASKAN PENDIRIAN NEGARA DI SIDANG MEJA BULAT ASIA PACIFIC YANG KE 37.

 










Di sidang Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-37 hari ini saya meneguh pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat selain tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana kuasa besar dunia.


Tanggapan mengatakan Malaysia cenderung kepada pihak tertentu dalam pertembungan geopolitik Amerika Syarikat-China jelas dangkal dan jauh terpesong dari kebenaran tatkala pendirian Malaysia sejak dahulu ternyata kekal konsisten dan selari dengan kepentingan negara. 


Mengambil contoh hubungan yang kukuh dan membuahkan hasil dengan China dan Amerika Syarikat, Malaysia akan terus berpegang erat pada hubungan yang produktif dan bermakna dengan rakan kongsi lain sama ada rakan kongsi strategik dan komprehensif strategik yang telah lama wujud.


Ucapan saya turut menyinggung perkembangan geopolitik dan geostrategik yang telah mengesankan beberapa jalur dan mekanisme serantau dan rangka kerja multilateral.


Ia ekoran strategi pembentukan pakatan yang didorong oleh sikap persaingan yang tidak sihat. Gejala seperti ini akhirnya akan membentuk sikap yang menginjak nilai keterangkuman, empati, dan ihsan di peringkat global.


Saya lontarkan kebimbangan terhadap persoalan rukun antarabangsa (international order) yang kini jelas gagal dalam menjelmakan keamanan dan menjejaskan kestabilan dunia seperti tragedi kemanusiaan di Palestin, Ukraine dan Myanmar, serta krisis di Sudan, Afghanistan, Ethiopia dan Haiti.


Terkait kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bermula tahun depan, saya tegaskan negara-negara ASEAN perlu bersama dalam mendepani krisis di Myanmar mengambilkira angka kematian dan kesannya kepada negara di rantau ini.  


Usaha meneroka perdamaian dan menghentikan keganasan di Myanmar perlu dilaksanakan atas semangat persahabatan dan persaudaraan antara negara-negara ASEAN, khususnya menerusi pematuhan kepada Konsensus Lima Perkara yang dicapai secara bersama di Jakarta. 


#MalaysiaMADANI