HANNAH YEOH - JANGAN BERDIAM DIRI,



 HANNAH YEOH - JANGAN BERDIAM DIRI, KELUARKANLAH SUARAMU!!


Sejak timbul isu berkaitan syarikat milik bersama suami Hannah Yeoh memperolehi kontrak pengangkutan dengan kerajaan negeri Selangor, paling dirindui tentunya ialah komen daripada Menteri Belia dan Sukan itu sendiri.


Sehingga ini, langsung tidak kedengaran sebarang reaksi daripadanya.


Tak tahulah sama ada sempena cuti sekolah ini beliau ada di dalam negara atau sedang bercuti di luar negara.


Tetapi, jika pun berada di luar negara, sekarang kan dunia langit terbuka dan melalui pelbagai platform media sosial yang ada, di mana-mana saja beliau boleh bersuara.


Kalaulah PH sekarang ini sebagai pembangkang dan yang memperolehi kontrak itu suami mana-mana pemimlin kerajaan, Hannah Yeoh barangkali adalah antara figura yang paling awal melantunkan suaranya.


Tambahan lagi, sejak semalam telah viral ciapan Hannah Yeoh di laman sosial X pada tahun 2012 mengenai komennya yang menolak pemberian kontrak kerajaan kepada kroni mana-mana pemimpin


Kenapa bila terkena batang hidung sendiri, diam membisu pula?


Sebagai pemimpin yang bergelar menteri, ditambah dengan PH memang menolak amalan kronisme dan nepotisme sejak dulu lagi, adalah sikap yang salah untuk Hannah Yeoh terus mendiamkan diri.


Walaupun pemimpin-pemimpin utama DAP juga berdiam dan membisu dalam isu ini, tetapi dalam keadaan di mana syarikat milik bersama suaminya sendiri memperolehi kontrak dengan kerajaan itu, Hannah Yeoh sepatutnya menjadi yang paling awal bersuara mengenainya.


Beliau wajib tampil bersuara dan menyatakan pendiriannya sebagai seorang menteri dan pemimpin DAP dalam isu tersebut sebagai pencerahan kepada rakyat.


Kalau beliau setuju suaminya memperolehi kontrak itu, nyatakanlah suara persetujuannya itu untuk didengari oleh dunia.


Jika tidak setuju pula, luahkalah pendirian tidak setuju itu tanpa ragu-ragu demi mempertahankan nama baik PH, DAP dan wibawa dirinya sendiri sebagai seorang pemimpin yang selama ini tergambar tegas menolak keras amalan kronisme dan nepotisme.


Berdiam diri, bersembunyi dan menyimpan suara bukanlah pilihan yang sepatutnya.


Jika ingin berdiam diri, lebih baik berhenti sebagai menteri dan jadilah orang biasa saja.


Setelah jadi orang biasa, tiada siapa akan marah lagi jika beliau tidak mengeluarkan suaranya.


Ketika itu nanti, kekallah berdiam diri dan memencilkan diri buat selama-lamanya. – ShahbudinHusin 30Mei2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/05/30/hannah-yeoh-jangan-berdiam-diri-keluarkanlah-suaramu.html




No comments: