Bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin
memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk mendapatkan kebenaran
semakan kehakiman dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
supaya menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk
Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Daim, 86, isterinya, Toh Puan Naimah Khalid,
67, dan empat anak, Asnida, 63; Md Wira Dani, 46; Muhammed Amir Zainuddin, 26;
Muhammed Amin Zainuddin serta menara itu selaku pemohon pertama hingga ketujuh
memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Tommy Thomas.
Menerusi dokumen semakan kehakiman, mereka
menamakan SPRM dan pendakwa raya selaku responden pertama dan kedua.
Bekas pemimpin kanan itu memohon deklarasi
bahawa SPRM dan pegawai-pegawainya tiada sebab munasabah untuk menyiasat
pemohon pertama hingga keenam dan/atau membawa kepada pendakwaan bagi sebarang
kesalahan bawah Akta SPRM 2009 mahupun Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan hasil daripada Akta Aktiviti Haram 2001
(AMLATFPUAA).
Pada Rabu,portal Sinar Harian melaporkan,
isteri dan anak kepada tokoh konglomerat terkenal itu diminta hadir ke ibu
pejabat SPRM untuk memberi keterangan.
Pada 22 Disember tahun lalu, Perdana Menteri,
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada muslihat, niat jahat, pilih kasih
atau menyebelahi mana-mana pihak dalam tindakan SPRM menyita bangunan Menara
Ilham milik keluarga Daim.
Sementara SPRM pada 30 Disember, mengesahkan
bekas Menteri Kewangan itu disiasat berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak
Februari 2023.
Selasa lepas, empat individu berkaitan dengan
Daim turut dipanggil memberi keterangan.
Sumber –
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tun-daim-keluarga-mohon-sprm-hentikan-siasatan-453610