Rafizi cabar Azmin Ali debat tentang ekonomi








 Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli mencabar pemimpin kanan PN Selangor, Azmin Ali untuk berdebat dengannya berkenaan ekonomi Malaysia.


Rafizi yang juga Timbalan Presiden KEADILAN melontarkan cabaran itu dalam siri ceramah Madani di DUN Sri Tanjung, Negeri Sembilan malam tadi.


Menurut Rafizi, cabaran berdebat tersebut bagi membuktikan rekod Mohamed Azmin ketika menjadi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan sekarang.


"Kalau mereka ada rancangan, saya panggil Azmin Ali.


"Kalau Azmin Ali (iaitu) bekas menteri ekonomi Perikatan Nasional dia merasakan rekod dia lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan saya cabar Azmin Ali berdebat dengan saya pasal ekonomi Malaysia... kalau dia berani la," katanya.


Rafizi dalam ucapannya malam tadi menjelaskan usaha-usaha dilakukan kerajaan mengangkat semula ekonomi negara.


Hal itu termasuk usaha dilakukan kementerian untuk meningkatkan ekonomi rakyat termasuk melalui industri tani moden yang mampu menambah bekalan makanan yang sekaligus menurunkan harganya di pasaran.


"Untuk turunkan harga, kita kena tambah bekalan.


"Sekarang ini sejak kita lancarkan (IPR - Inisiatif pendapatan Rakyat) akhir Februari lalu, Kerajaan Perpaduan berjaya memulakan tapak tapak pertanian seluas seribu ekar di seluruh negara.


"Kalau dalam tempoh lima bukan kita berjaya buat, kalau kamu dulu tak mampu buat.. jangan perlekeh kerja orang," katanya.