PROKLAMASI MELAYU MENUJU LESU, BAKAL GAGAL SEBAGAIMANA TUN MAHATHIR DITOLAK PADA PRU15 LALU


Walau apa jua hujah yang cuba disimpang-siurkan, secara umumnya semua orang sedar Proklamasi Melayu yang merupakan sebuah gerakan tajaan Tun Mahathir Mohamad adalah bertujuan untuk membawa orang-orang Melayu menjauhi dan menolak kepimpinan Anwar Ibrahim.


Meski proklamasi itu dikatakan bertujuan memperjuang dan membela nasib orang Melayu, realitinya orang Melayu yang terancam ketika ini hanyalah mereka yang tidak berada di luar kerajaan lantaran tidak lagi ada kuasa dan ditolak pengundi sehingga hilang deposit pada PRU lalu.


Selebihnya, orang Melayu masih aman dan baik-baik saja kerana kerajaan dan kepimpinan kerajaan masih dipegang secara majoriti oleh pemimpin Melayu.


Lebih daripada itu, sejak Anwar memegang jawatan Perdana Menteri, tiada elemen atau tindakan yang menggugat kedudukan orang Melayu pernah dilakukan.


Jadi, nak perjuangkan nasib Melayu apa lagi?


Menoleh ke belakang pula, Tun Mahathir yang kini memperjuangkan Melayu kononnya, kalau mahu dikira adalah pemimpin yang paling tidak layak bercakap untuk memperjuangkan nasib Melayu.


Ketika berkuasa, beliau memecahkan Melayu dengan menolak kemasukan Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam UMNO Baru yang ditubuhkannya selepas pemilihan 1987 sehingga bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu terpaksa menubuhkan Semangat 46.


Kemudian pada 1998, lantaran bimbang kepada ancaman Anwar, beliau telah memecat bekas timbalannya itu sehingga tercetusnya gerakan reformasi dan tertubuhnya parti PKR.


Adakah memperjuangkan Melayu sehingga sanggup membuatkan UMNO terpecah demi ingin menyelamatkan kuasa sendiri?


Orang Melayu pasti tidak terpecah dan kekal terangkum jika Semangat 46 dan PKR tidak ditubuhkan atau jika selepas bersara, Tun Mahathir tidak lagi mencampuri urusan politik negara.


Seterusnya dalam usaha untuk kembali berkuasa pada 2018 bagi tujuan untuk menumbangkan Najib Razak, Tun Mahathir telah memilih DAP untuk mencapai cita-citanya itu, selain kembali berbaik semula dengan Anwar.


Kemenangan beliau pada 2018 bukan saja disebabkan oleh sokongan bukan Melayu, malah selepas itu dilantiknya pula Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.


Lagi pula, kalau mahu menolong dan membela nasib Melayu, Tun Mahathir telah diberikan peluang selama 22 tahun campur 22 bulan untuk berbuat demikian.


Tetapi, apa perjuangan untuk Melayu yang boleh kita ingati dan kenang pernah dilakukannya ketika berkuasa dahulu?


Sebab itu, bak kata Anwar- sudah hilang kuasa baru bicara soal Melayu?


Dalam erti kata yang mudah, Tun Mahathir sebenarnya paling tidak sesuai dan malu sendiri untuk bercakap soal membela dan memperjuangkan nasib Melayu pada ketika ini.


Hakikatnya, beliau pernah ada kesempatan paling terbaik berbanding semua orang Melayu yang lain untuk membela dan memperbaiki nasib orang-orang Melayu.


Dalam usianya di hujung senja ketika, Tun Mahathir tidak lain hanya mahu mencipta satu lagi rekod iaitu menjatuhkan seorang lagi Perdana Menteri melalui gerakan yang Proklamasi Melayu yang digerakkkannya ini.


Itulah sebetulnya motif Proklamasi Melayu dan tiada sebab-sebab lain. Noktah. Titik.


Namun demikian, dengan beliau senakin di hujung usia, kemampuannya dirasakan kian tiada, bukan berkedudukan sebagai Ahli Parlimen, tidak berparti dan anaknya sendiri, Mukhriz tidak lagi bersama dalam perjuangannya, matlamat yang ingin dicapai melalui Proklamasi Melayu itu semakin menuju sendu serta lesu.


Sementara hanya beberapa pemimpin Pas yang sudi menandatangani proklamasi itu, parti Bersatu secara kolektifnya menolak sama sekali untuk bersama.


Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu atau Peja bersama dua pemimpin Bersatu yang lain sekadar menandatangani Proklamasi Melayu itu atas kapasiti peribadi dan tanpa restu Mahiaddin Md Yasin.


Selain Mahiaddin, Hamzah Zainuddin selaku Ketua Pembangkang juga enggan membabitkan diri dalam Proklamasi Melayu, meskipun dilaporkan ada cubaan mengajak Ahli Parlimen Larut itu hadir sama ke rumah Tun Mahathir bersama pimpinan Pas yang berhari raya pada minggu lalu.


Parti Melayu yang lain, bahkan majoriti orang Melayu secara umumnya tidak merasakan Proklamasi Melayu itu sesuatu yang perlu dan penting untuk disertai.


Ada yang turut menandatanganinya sekadar suka-suka dan tidak lebih daripada itu.


Sebagaimana Pejuang telah gagal dan hilang deposit pada PRU15 lalu, Proklamasi Melayu juga semakin hampir menuju destinasi yang sama dan Anwar tidak perlu cemas mendepaninya. – ShahbudinHusin 07/05/2023.


https://shahbudindotcom.net/