Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN menyarankan supaya kerajaan
memberi pendidikan percuma kepada pelajar yang memilih jurusan sains,
teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) di peringkat universiti.
Gesaan itu disuarakan Sim Tze Tzin dalam temubual secara Live di
laman Tik Tok Free Malaysia Today.
Selain pelajar golongan itu, pendidikan secara percuma jelasnya
turut wajar diberikan pelajar yang mengikuti program Pendidikan dan Latihan
Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kerajaan jangan takut nak beri pendidikan percuma sebab pada
masa depan, bila mereka dapat pendapatan yang tinggi, mereka akan bayar cukai.
Nilai cukai ini lebih tinggi dan kerajaan akan dapat balik (pulangan pendidikan
percuma).
"Kalau pekerja kita gaji rendah, kita (kerajaan) kena bagi
BR1M, pelbagai subsidi. Tapi kalau mereka mendapat pekerjaan yang berkualiti,
secara automatik isu-isu ini akan diselesaikan. Mereka bukan lagi B40 tapi
sebaik tamat pengajian mereka M40," jelasnya.
Sementara itu beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru turut
menyatakan kebimbangan berhubung kemerosotan jumlah pelajar yang memilih aliran
STEM.
Jika tidak ditangani, jelasnya, akan menyebabkan negara ketandusan
tenaga kerja mahir sekaligus merugikan negara.
Justeru beliau turut menggesa kerajaan mewujudkan laluan pantas
atau “express lane” untuk pelajar STEM memasuki institut pengajian tinggi
(IPT).
"‘Express lane’ ini bermaksud semua IPTA menawarkan kursus
STEM secara terus kepada semua pelajar SPM, tanpa melalui Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia (STPM) atau matrikulasi. Keputusan baik dapat tawaran masuk
universiti, yang kurang baik, masuk TVET," katanya yang mengutarakan tiga
cadangan itu ketika membahaskan ucapan dasar Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat,
baru-baru ini.
"Saya cadangkan dekat Parlimen, dengan cara ini kita boleh
lahirkan satu juta graduan STEM dan TVET dalam masa lima tahun. Saya yakin
Malaysia akan maju. Pelabur akan berpusu-pusu masuk ke negara ini,"
jelasnya pada sesi temubual itu.