Mustahil kos sara hidup boleh selesai dalam 2 minggu
Isu kos sara hidup yang ditimbulkan oleh pemimpin PN, khususnya Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan agak keterlaluan apabila menuntut janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi solusi kepada masalah besar berkenaan dalam tempoh dua minggu.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh mempersoalkan rsional kenyataan Wan Saiful berkenaan yang mahu kementerian menyatakan rancangan strategik menangani kos sara hidup secara menyeluruh.
“Anwar kata dia akan minta pandangan daripada jawatankuasa tetapi dia tak kata apa jawapan mereka, atau apa tindakan
“Saya rasa perkara itu biasa untuk sesiapa PM baru untuk dapatkan taklimat, maklumat dahulu sebelum membuat apa apa keputusan lanjut.
“Saya rasa tak masuk akal dalam dua minggu dah ada satu penyelesaian terbaik dan selesai semua masalah. Tak betullah (desakan) mereka ini,” katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah Syed Ibrahim, penyelesaian ad hoc telah pun dilakukan seperti mengimport telur ayam dan sebagainya.
Namun tentu sekali rakyat perlukan penyelesaian menyeluruh dalam isu kenaikan harga dan hal itu mengambil masa untuk dilakukan.
“Memang betul rakyat tertunggu tunggu, tetapi kos sara hidup ini besar dan dia ada banyak punca. Jadi dia memerlukan satu penyelesaian yang menyeluruh. Dia tak boleh ada satu segi sahaja
“Saya rasa ada banyak sudut perlu tengok. Kemudian kesannya tak datang secara tiba tiba, perlu ambil masa,” katanya lagi.
Kelmarin Wan Saiful membidas Kerajaan Perpaduan kerana masih belum tampil dengan solusi ke atas masalah kos hidup sedangkan pada 24 November lalu, Anwar katanya, telah mengarahkan kementerian menyediakan cadangan menangani kenaikan kos sara hidup dalam tempoh 2 minggu.