Sirul keluarkan senjata dari stor Bukit Aman, saksi beritahu mahkamah


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Seorang saksi memberitahu mahkamah tahun lalu bahawa Sirul Azhar
 Umar mengaku menembak Altantuya Shaariibuu.

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu tiada arahan daripada mana-mana pegawai kanan kepada Sirul Azhar Umar, yang mengaku menembak Altantuya Shaariibuu, untuk mengeluarkan senjata yang digunakan itu dari stor di Bukit Aman pada 2006.

Pegawai penyiasat Tonny Lunggan berkata demikian ketika disoal balas oleh Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamarudin dalam perbicaraan kes saman kecuaian yang difailkan oleh ahli keluarga wanita Mongolia itu.

Zetty: Adakah anda memberitahu mahkamah bahawa Sirul mengambil senjata itu dari stor senjata?

Tonny: Ya.

Zetty: Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa tiada saksi dalam perbicaraan ini telah memberi keterangan terdapat sebarang arahan daripada mana-mana pihak atasan supaya Sirul mengambil senjata itu dari stor senjata?

Tonny: Ya.

Menurut daftar persenjataan, senjata dan magazin dikeluarkan dari stor pada 4 Okt 2006 dan dikembalikan pada 30 Okt 2006.

Tahun lalu, pegawai polis Zulkarnain Samsudin memberi keterangan dalam perbicaraan bahawa Sirul mengaku menembak Altantuya dan menunjukkan tempat mayat mangsa diletupkan ketika dia diiringi ke lokasi pembunuhan di Puncak Alam di sini, 11 Nov 2006.

Tonny Lunggan.

Tonny juga bersetuju dengan Zetty bahawa pegawai polis Azilah Hadri dan Sirul tidak terlibat dalam sebarang “operasi khas” pada 19 Okt 2006, iaitu hari mangsa dibunuh.

“Tiada juga pegawai atasan lain yang terlibat dalam operasi sedemikian,” kata saksi pendakwaan ke-26 itu.

Kerajaan yang dinamakan sebagai defendan kemudian menyatakan pendirian bahawa Azilah dan Sirul melakukan jenayah itu sendiri.

Tonny, 42, menolak cadangan peguam Manjeet Singh Dhillon, yang mewakili penganalisis politik Abdul Razak Baginda, bahawa sebahagian daripada kandungan dalam kenyataan saksinya adalah pendapat dan andaian beliau.

Katanya, dia memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah Azilah, Sirul dan Razak dan bukti itu turut dikemukakan.

Razak, dalam pembelaannya berkata, dia tidak bersekongkol dengan Azilah untuk membunuh kekasihnya, Altantuya seperti diakui dalam afidavit.

Ketika sesi pemeriksaan semula oleh peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga itu, Tonny berkata, beliau mencadangkan pertuduhan dikenakan terhadap ketiga-tiga mereka berdasarkan kenyataan yang direkodkan dan bukti saintifik lain.

Bapa Altantuya Setev, ibu Altantsetseg Sanjaa dan anak lelaki Mungunshagai Bayarjargal menamakan Razak, kerajaan dan Sirul dan Azilah Hadri sebagai defendan.

Keluarga itu, yang mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya, menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk tuntutan tanggungan.

Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya, yang disifatkan sebagai orang perantaraan.

Mereka berjaya membatalkan sabitan di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengenakan semula sabitan dan menjatuhkan hukuman mati. Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan akhir.

Razak, yang didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu, dibebaskan pada akhir kes pendakwaan. Mahkamah memutuskan bahawa tiada bukti berkenaan pertuduhan terhadapnya dan kerajaan tidak membuat rayuan, satu tindakan yang mendapat kecaman awam.

Sirul, yang ditahan di pusat tahanan Australia manakala Azilah yang dihukum mati di Penjara Kajang tidak mencabar saman itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Vazeer Alam Mydin Meera bersambung.


No comments: