Kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
yang telah pun lebih dua tahun dijatuhkan hukuman penjara tetapi masih bebas
berkeliaran termasuk berkempen pilihan raya menimbulkan tanda tanya ke atas
pelaksanaan undang undang di Malaysia.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, rakyat tidak mempersoalkan hak seseorang yang dijatuhi hukuman untuk merayu tetapi tempoh yang amat panjang sebelum hukuman dilaksanakan menjadi perdebatan kurang menyenangkan.
"Saya faham dan menghormati kebebasan badan kehakiman. Saya juga menyokong prinsip pengasingan kuasa.
"Tetapi kalau sudah bertahun-tahun disabitkan bersalah dan dihukum penjara oleh Mahkamah Tinggi yang mengendalikan perbicaraan, kenapa proses rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan mengambil masa terlalu lama?
"Rakyat bertanya kenapa penjenayah yang telah disabitkan bersalah kerana rasuah, pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram boleh berkeliaran ke sana sini termasuk berkempen dalam pilihan raya?
"Mereka bertanya kepada saya, sebagai seorang ahli Parlimen, Adakah undang-undang yang ada sekarang adil?
"Rakyat melihat pesalah dan penjenayah biasa, tanpa nama besar, gelaran dan jawatan sebaik dijatuhkan hukum penjara, tiada kemampuan merayu terus disumbat ke penjara," katanya.
Rakyat tambah Hassan, melihat status dan kekayaan seolah olah dapat melunakkan hukuman kepada kluster mahkamah tertentu. Katanya, mereka melantik pasukan peguam yang hebat boleh memfailkan pelbagai permohonan interlocutory yang didakwa seolah olah melengah-melengahkan perlaksanaan hukuman penjara.
Untuk itu, kata Hassan, Menteri undang undang, Ketua Hakim Negara yang pihak pihak bersangkutan perlu mengkaji had munasabah seseorang yang telah didapati bersalah dibenar menjalani rayuannya.
"Saya percaya Ketua Hakim Negara yang arif dan bijaksana perlu lakukan sesuatu. Perlu dimulakan inisiatif libat urus dengan Peguam Negara dan de facto Menteri Undang-Undang (pihak Eksekutif) serta Yang di Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara (pihak Legislatif) supaya digubal undang- undang atau dipinda mana-mana undang-undang sedia ada untuk menetapkan tempoh masa rayuan sesuatu kes.
"Orang yang telah disabit bersalah dan dihukum penjara, tidak kira siapa mereka, selaras dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kesamarataan, hendaklah segera dihantar ke penjara sekiranya rayuan mereka ditolak.
Pendengaran rayuan mesti dilakukan dalam had tempoh masa yang menasabah, tidaklah boleh berlarut-larut seperti yang berlaku sekarang ini sehingga rakyat hilang keyakinan kepada sistem undang-undang dan kehakiman," kata Hassan lagi.