Syahid balak

 

Syahid balak










Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Hazani Ghazali menyatakan terdapat 54 kematian akibat banjir direkodkan di seluruh negara dan dua orang lagi masih hilang. Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu 25 orang, disusuli Pahang dengan 21 kematian, di Kelantan empat orang terkorban, manakala di Sabah tiga orang dengan seorang di Negeri Sembilan.

Sekiranya kematian 54 orang ini terjadi bukan kerana curahan hujan yang banyak, kepala air, bencana alam (atau disebut-sebut agar boleh ‘move on’ sebagai takdir) sebaliknya kerana aktiviti penggondolan hutan, pembalakan, dan perubahan lanskap oleh sebab korupsi, maka mangsa banjir ini adalah ‘syuhada’ (tanpa mengira kepercayaan mereka).

54 orang ini boleh dan wajar menuntut semula hak mereka di hari pengadilan kelak. Bak kata Mufti Perlis dalam kenyataan beliau baru-baru ini; “…perbuatan menebang hutan sehingga membinasakan kehidupan rakyat merupakan jenayah dunia dan akhirat. Tanpa mengira siapa pun pelakunya, sama ada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli perniagaan, ke atas mereka laknat rakyat.”

Hubungan korupsi-pembalakan-banjir sangat kuat. Seperti yang dapat kita lihat, mangsa banjir ini kebanyakannya orang kampung, kaum miskin, dan mereka yang senang tertindas. Tak ada bangsawan atau T20 misalnya yang ditimpa banjir atau bah, apatah lagi ditusuk banglo, atau villa mereka dengan kepala balak.

Dalam hal ini penjelasan Transparency International pada 15 Disember 1998 menunjukkan bagaimana korupsi ini menimpa (dalam konteks ini menyebabkan kematian beramai-ramai) kaum melarat atau marhaen. Menurut Transparency International:

“Corruption is one of the greatest challenges of the contemporary world. It undermines good government, fundamentally distorts public policy, leads to the misallocation of resources, harms the private sector and private sector development and particularly hurts the poor.”

Ini juga sebabnya Nabi Muhammad menghina, menista dan mengecam pemberi, penerima, dan perantara rasuah atau korupsi ini. Hadis “la’anallahu ala al-rasyi wa al-murtasyi” itu dilaporkan dalam Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud, dan Sunan Ibnu Majjah.

Dalam skema moden dan kontemporari, rasuah atau korupsi ini secara mudahnya membabitkan monopoli dan kekuasaan untuk melakukan sesuatu (dalam hal ini membalak) “minus” pertanggungjawaban iaitu tidak boleh dihukum lantaran kebalnya (lantaran posisi si pelaku yang tidak boleh digugat). Ini menepati pencirian korupsi yang diberikan oleh World Bank pada 1997:

“Public office is abused for private gain when an official accepts solicits, or extorts a bribe. It is also abused when private agents actively offer bribes to circumvent public policies and processes for competitive advantage and profit. Public office can also be abused for personal benefit even no bribery occurs, through patronage and nepotism, the theft of state assets, or the diversion of state revenues.”

Pembalakan yang terdedah makarnya oleh banjir (bukti kekuasaan Tuhan) pada Disember 2021 itu mestilah dilubangcacingi iaitu diburu dan dicari pelakunya. Jangan segera berlalu setelah lumpur dicuci. Jangan segera beredar selepas musim hujan mereda.

Hubungan pembalakan dan korupsi bagai bintang-gemintang terang benderang tanpa perlu suluhan.

Kajian profesor sohor, Jomo KS bersama-sama Chang YT dan Khoo KJ pada 2004 dengan judul “Deforesting Malaysia: The Political Economy and Social Ecology of Agricultural Expansion and Commercial Logging” menyebutkan hubung kait pembalakan dan korupsi. Sistem sedia ada di negara ini, menurut mereka, mendorong kepada ketiadaannya kebertanggungjawaban pengusaha balak:

“…encourages corruption and illegal logging owing to the lack of accountability of the concessionaires and loggers.”

Pengusaha balak itu boleh jadi macam-macam status mereka, seperti disebut-sebut oleh Mufti Perlis itu.

Kematian mangsa di Pahang misalnya baru-baru ini, khusus dalam ‘banjir balak’ di Karak, Bentong; siapakah yang akan bertanggungjawab? Jika tiada, maka jelas tiadanya kebertanggungjawaban ekoran imuniti taukehnya. Siapa pula di belakang taukeh sampai tiada boleh dipertanggungjawabkan?

Hubungkait pembalakan dan korupsi ini bukan diada-adakan, pada 2020 misalnya tiga individu ditahan kerana disyaki memberi dan menerima rasuah RM3 juta, iaitu berhubung sebuah projek pembalakan bernilai lebih 27 juta. Fakta kes menyebutkan projek ambil alih kawasan pembalakan itu melibatkan kawasan seluas 6,591.67 ekar di Pahang pada 2015.

Ops Timber pada 2017 pula memerangkap seorang pegawai hutan Jabatan Perhutanan Daerah Jerantut, Pahang yang mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung kes pemberian rasuah oleh syarikat. Rasuah ini sebagai balasan tidak dikenakan tindakan apabila melakukan pencerobohan dan penebangan pokok secara haram di luar kawasan. Ekoran dari itu pada 20 September 2017, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda sebanyak RM150,000.00 tunai bermula daripada tarikh beliau ditangkap iaitu pada 11 September 2017.

Untuk rekod, aktiviti pembalakan di Jerantut (kerana kes rasuah di atas terjadi di Jerantut) mendorong bantahan besar dari penduduk atau rakyat miskin di situ. Terdapat laporan berita seawal bulan Mac 2021 oleh penduduk di sini, yang berusaha menolak pembalakan. Bantahan dibuat oleh penduduk membabitkan lima kampung iaitu Kampung Baharu, Kampung Sungai Badak, Kampung Lata Kasah, Kampung Binjai, dan Kampung Sungai Par.

Menurut penduduk, kerja-kerja penebangan balak berdekatan dengan Sungai Teh dan penempatan penduduk di Kampung Sungai Badak dikhuatiri menjadi punca musibah.

Juga untuk rekod, Ahli Parlimen Jerantut adalah Ahmad Nazlan Idris (Umno) yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Sebagai rekod tambahan, Perdana Menteri hari ini adalah dari Pahang, manakala dua orang lagi bekas Perdana Menteri juga dari Pahang.

Rekod lain: banjir di Jerantut juga menarik minat Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membuat lawatan ke 10 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Jerantut. Seperti biasa, beliau menyantuni mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS.

Demi semua rekod yang dipecahkan pada 17 dan 18 Disember 2021 itu, jika kita memahami sebab akibat pembalakan dan korupsi, tidaklah pula terlalu sukar untuk menjelaskan hubungan pembalakan dengan bencana banjir, khusus di Pahang itu.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Prof Ahmad Ismail, sebagai contoh menegaskan hutan berfungsi untuk ‘menapis’ atau memperlahankan aliran air ke permukaan ketika hujan lebat, sekali gus mengurangkan impak banjir kepada penduduk (dalam hal ini orang miskin). Beliau menyatakan:

“Kawasan hutan yang menipis juga boleh menyumbang kepada kebolehan peningkatan pergerakan air permukaan. Pembangunan baharu dan penerokaan hutan secara haram juga perlu dilihat menyumbang kepada banjir dan tanah runtuh.”

Sekiranya banjir besar yang terjadi hujung Disember 2021 itu memang bersebabkan pembalakan maka kematian ramai rakyat (baca: orang miskin) itu memanglah satu ‘pembunuhan beramai-ramai’ yang boleh dan patut dielakkan.

Yang terkorban tentulah sudah ‘syahid’. Akan tetapi untuk yang masih tinggal bernyawa kekal melakukan kebebalan sama dengan memilih tukang, wakil, proksi, dan tangan yang menjadi punca pembalakan, itu memanglah mengherankan.

No comments: