Tokoh peguam, pejuang reformis Kamar Ainiah meninggal dunia

 



Salah seorang pejuang awal era Reformasi dan pernah menjadi pasukan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman meninggal dunia hari ini akibat komplikasi diabetis.

Kamar Ainiah sebelum ini aktif membela pimpinan dan aktivis semasa era reformasi dan memberi sumbangan dalam perundangan syariah di negara ini.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada Allahyarhamah serta keluarga.

"Terima berita sedih bahawa sahabat seperjuangan kami, seorang tokoh peguam, dan antara reformis terawal saudari Kamar Ainiah Binti Kamaruzaman telah pergi menyahut panggilan Ilahi.

"Saya doakan keluarganya kuat serta tabah mendepani ujian. Semoga rohnya diberi tempat yang terbaik oleh Yang Maha Esa," kata Anwar dalam catatan di Facebook.

Difahamkan satu majlis bacaan Yasin dan Tahlil akan diadakan jam 9 malam ini secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet.

Majlis anjuran Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu akan dipimpin oleh Ustaz Iz’aan.