MOHD FADLI
Abu Kassim Mohamed berkata, komitmen
tinggi daripada pemimpin tertinggi negara iaitu perdana menteri sehingga rakyat
diperlukan untuk mengubah negara menjadi benar-benar bebas rasuah.
PETALING JAYA: Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis
(IPCMC) gagal diwujudkan kerana “ketakutan” ahli politik yang memberi pelbagai
alasan yang sangat menyedihkan, kata bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim
Mohamed.
Beliau yang juga bekas Ketua pengarah Pusat Governans, Integriti
dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) berkata, jika IPCM diwujudkan, ia mampu
menghasilkan pasukan polis yang benar-benar bebas rasuah.
“Saya cakap terus terang ketakutan ahli-ahli politik tentang
IPCMC dan saya lihat hujah-hujah yang hanya bertujuan memberi sebab untuk tidak
menerimanya dan ini amat menyedihkan.
Abu Kassim menyifatkan IPCMC sebagai cadangan yang baik untuk
memerangi salah laku dalam agensi penguatkuasaan dalam webinar perdana bertajuk
“Cegah Rasuah, Cakna Integriti” anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) malam
tadi di Facebook.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran utama
dihadapinya dan pasukannya dalam melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP)
2019-2023.
Pada 10 Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin
berkata, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan
Polis (IPCC) di Dewan Rakyat bagi menggantikan IPCMC yang ditangguhkan pada
2019.
Kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) bercadang
menubuhkan IPCMC bagi mengurus isu berkaitan salah guna kuasa oleh anggota
polis yang bertujuan membolehkan siasatan bebas dijalankan ke atas aduan
melibatkan pasukan itu, namun dibantah oleh beberapa pihak atas alasan
berkaitan keselamatan.
IPCMC dicadangkan bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menjalankan siasatan berhubung salah laku
polis.
Dalam pada itu, Abu Kassim berkata, untuk mengubah negara
menjadi benar-benar bebas rasuah memerlukan komitmen tinggi daripada pemimpin
tertinggi negara, iaitu perdana menteri sehingga rakyat.
Katanya, semua negara termasuk Malaysia menghadapi masalah
rasuah sama ada rasuah dijadikan alat untuk dapatkan kuasa atau untuk
menjatuhkan kerajaan sedia ada.
”Bila dapat kuasa, dia pun lupa tentang usaha nak lawan rasuah.
“Bila nak buat ‘reform’ dan buat laporan berkesan yang akan
membawa perubahan yang dirasai rakyat mahu tak mahu pemimpin negara harus
memberi komitmen yang cukup tinggi dan berterusan,” katanya.