HEBAT SANGAT KAU YA...20 TAHUN DALAM PENJARA MENANTI KAU...

 


‘Long Tiger’ mengaku tak salah rogol wanita




‘Long Tiger’ dibawa ke mahkamah untuk didakwa. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai “Long Tiger” mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas tuduhan merogol seorang wanita, dua tahun lalu.

Lelaki Rohingya yang nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, didakwa merogol wanita berusia 21 tahun itu di sebuah rumah di Taman Sri Jaya Bukit Gambir, Tangkak antara 1 petang hingga 2.05 petang, 26 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan, lapor Harian Metro.

Timbalan Pendakwa Raya Ummi Amyra Natasha Azhar dan Muhammad Azfar Mahmod mencadangkan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh dikhuatiri boleh mengganggu saksi utama pendakwaan selain isu kepentingan awam.

Bagaimanapun, barisan peguam terdiri daripada Shaharudin Ali, Muhammad Hariz Md Yusof dan Muhammad Noor Azfar Noor Azmi memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan mengambil kira tertuduh sebagai penanggung utama keluarga.

Hakim Amran Jantan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin selain melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Tertuduh juga diminta menyerahkan pasport serta tidak dibenarkan mengganggu saksi.

Mahkamah menetapkan 8 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tangkak atas dua pertuduhan mengugut bunuh dan mengurung bekas pekerjanya, warga tempatan, Luqman Hakeem Othman, 21.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 169, Tingkat 1, Jalan Gambir 7, Bandar Baru Bukit Gambir antara 6 petang dan 7.05 malam, 12 Julai lalu.

Majistret Wan Nur Fariha Najwa Wan Azahan tidak membenarkannya diikat jamin untuk tuduhan itu.