Ancaman untuk menyiasat Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri
Anwar Ibrahim di atas tuduhan cuba menghasut rakyat menolak darurat merupakan
intimidasi melampau ke atas Ahli Parlimen yang melakukan proses semak dan
imbang dalam sistem demokrasi.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Datuk Halim
Bachik, tindakan membuka kertas siasatan itu tidak akan merubah kenyataan
bahawa majoriti anggota Dewan Rakyat telah menghantar warkah kepada Yang
di-Partuan Agong memohon dikaji semula pelaksanaan darurat.
"Kenyataan Menteri Dalam Negeri tentang siasatan yang akan
dijalankan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa individu lain
mengesahkan Kerajaan berada dalam keadaan yang amat terdesak untuk
mempertahankan kuasa.
"Datuk Seri Anwar merupakan tokoh yang berpegang teguh kepada
Perlembagaan, serta melaksanakan tugas dengan penuh kesetiaan di samping
memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan dan negara.
"Dengan tindakan desperado yang dilakukan oleh kerajaan
Perikatan Nasional ini, rakyat sudah pasti dapat mengandaikan bahawa tindakan
yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri didorong perasaan cemas dan takut
kehilangan jawatan maka taktik ugutan adalah menjadi pilihan," katanya
dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Halim mengingatkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hamzah Zainuddin supaya menghentikan pencemaran profesionalisme Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dengan arahan-arahan bagi kepentingan kedudukan politik PN
semata-semata.
"Menteri Dalam Negeri disaran untuk meneliti dan memahami
makna ehsan dan kebijaksanaan seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar
Ibrahim di dalam warkah kepada Baginda untuk menimbangkan pembatalan darurat.
Nasihat yang dipersembahkan kepada YDPA oleh Perdana Menteri kini jelas
terbukti, meletakkan kepentingan kedudukan politik mereka jauh lagi tinggi dari
kepentingan rakyat yang dalam kepayahan menghadapi wabak Covid-19.
"Mewakili keluarga besar KEADILAN Negeri Melaka, saya menyeru
seluruh pendokong KEADILAN dan pencinta kebenaran untuk mendesak kerajaan
memulihkan demokrasi di Malaysia dari terus dicemari oleh pemain politik yang
mabuk kuasa dan berselindung di sebalik darurat.
"Mandat rakyat harus dikembalikan kepada yang hak,
ketidakadilan harus ditolak!" katanya lagi.