Gempar! Pemuda PKR dakwa golongan transgender aktif menjalankan aktiviti songsang di negeri Kelantan

 


Gempar! Pemuda PKR dakwa golongan transgender aktif menjalankan aktiviti songsang di negeri Kelantan

Pemuda PKR (AMK) Kelantan melontarkan kebimbangan berhubung kewujudan golongan transgender yang didakwa aktif menjalankan aktiviti songsang di negeri itu.

Ketuanya Muhd Hafiz Muhd Kasasi berkata, pihaknya rasa terpanggil untuk mengulas isu tersebut selepas membaca kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berhubung isu yang sama, baru-baru ini.

Katanya, kebimbangan timbul dengan keadaan yang berlaku di negeri Kelantan yang tidak terkecuali dalam isu membabitkan aktiviti transgender.

“Kita menerima aduan mengenai penawaran aktiviti berbentuk maksiat oleh golongan itu yang dilihat semakin rancak dengan modus operandi mencari pelanggan menerusi aplikasi Wechat dan seumpamanya.

“Adalah wajar tindakan terhadap aktiviti tidak bermoral ini didahulukan lebih awal di negeri Kelantan yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah dan slogan kerajaan ‘Membangun Bersama Islam’.

“Aktiviti tidak bermoral ini seperti tidak diambil serius oleh pihak kerajaan negeri dengan apa yang kita dapat lihat sekarang makin bertambah serius khususnya melibatkan golongan ini, malah semakin menonjol susulan tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib,” katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Marzuk dilapor media mengingatkan bahawa tiada ruang untuk golongan transgender melakukan maksiat di negara ini.

Anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu berkata, golongan tersebut didapati tidak lagi takut-takut untuk menyorok identiti lelaki yang sudah ditukar kepada perwatakan wanita.

Sementara itu Muhd Hafiz berkata, kerajaan negeri yang kini sehaluan dengan kerajaan persekutuan seharusnya mengambil pendekatan tuntas dan berkesan dalam menangani gejala tidak bermoral itu sebaliknya bukan sekadar beretorik bagi meraih kepentingan politik.

“Jangan hanya setakat menyampaikan ceramah sahaja tanpa tindakan diambil bagi mencegah perkara ini berlarutan sehingga tidak dapat dibendung lagi. Ia amat bahaya khususnya berlaku pada golongan muda di negeri ini.

“Pelbagai inisiatif perlu dilakukan dengan segera oleh pihak berwajib bagi memastikan aktiviti transgender ini dapat dibendung dengan sebaik mungkin.

“Kami menyarankan agar perkara ini tidak dipandang remeh oleh pihak kerajaan demi menjamin nama baik negeri Kelantan yang kita sayangi.

“Sebagai sebuah negeri yang sering dilaungkan memerintah secara Islam, dalam tempoh 30 tahun menjadi kerajaan isu seperti ini sepatutnya menjadi contoh kepada kerajaan negeri lain dalam soal pembanterasan dan tindakan tegas. Jangan hanya berteori sahaja tanpa usaha dan praktikal kita terjemahkan,” katanya.