PAS -SUDAH TERIKAT DENGAN BERSATU ATAU BERSAMA DENGAN UMNO DALAM MN

 

Sementara hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional ternampak semakin renggang dan menjauh, Bersatu pula kian merapatkan hubungannya dengan parti Islam itu melalui Perikatan Nasional.

PN yang kini dianggotai Bersatu, Pas, Star dan Sapp bukan saja telah mengadakan mesyuarat Majlis Tertingginya sebagai persiapan menghadapi PRU15 akan datang, malah turut bersetuju membentuk Majlis Presidennya sendiri.

Menurut Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PN merangkap Setiausaha Agung Bersatu, Majlis Presiden itu akan dianggotai oleh ketua-ketua parti dalam PN.

Katanya, dengan pembentuan Majlis Presiden itu, ia akan menjadi platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan serta mengukuhkan kerjasama antara parti.

Selain itu, tambah Hamzah lagi, PN juga akan segera melaksanakan program-program “flagship” di seluruh negara bagi membantu kebajikan semua lapisan rakyat.

Perkembangan PN ini nyata berbeza dengan MN yang rasanya sudah lama tidak mengadakan sebarang pertemuan antara pimpinan UMNO dan Pas.

Program bersama antara UMNO dan Pas juga tidak kedengaran lagi sekarang ini.

Berbanding awal penubuhan MN dahulu di mana pimpinan UMNO dan Pas kerap bertemu atau bermesyuarat dan mengadakan program bersama, keadaannya itu nampaknya sudah tidak wujud lagi.

Apakah kerana UMNO dan Pas sudah berada dalam kerajaan dan masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, maka mereka tiada kesempatan lagi untuk bertemu seperti dahulu?

Jika keadaan berterusan begini, ke mana akhirnya hubungan UMNO dan Pas dalam MN ini?

Juga, jika berterusan Pas kian aktif bergerak bersama Bersatu dalam PN, apakah mungkin Pas akhirnya akan meninggalkan UMNO dan keluar daripada MN?

Pas – sudah terikat dengan Bersatu atau masih kekal bermuafakat dengan UMNO?


 (Shahbudindotcom 03/12/2020)