Desak Anwar lepas ketua pembangkang ‘usikan nakal’, kata Pemuda Amanah


Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir berkata, sejak akhir-akhir ini wujudnya persepsi gerakan untuk menukar status Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR dan pengerusi PH sehingga mewujudkan satu polemik. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Gerakan mendesak Anwar Ibrahim melepaskan jawatan ketua pembangkang disifatkan sebagai “usikan nakal” oleh pihak tertentu susulan kegagalan blok itu menghalang Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir berkata, sejak akhir-akhir ini wujudnya persepsi gerakan untuk menukar status Anwar yang juga presiden PKR dan pengerusi PH sehingga mewujudkan satu polemik.

“Hakikatnya dalam PH langsung tiada kedengaran untuk tukar ketua pembangkang melainkan ada ulasan dibuat Anwar sebelum ini yang pernah mengatakan beliau akan berundur sekiranya menjadi liabiliti (kepada PH).

“Tetapi baik Amanah, DAP dan PKR tidak menyambut saranan tersebut. Di peringkat tertinggi tiada polemik siapa harus menjadi ketua pembangkang (menggantikan Anwar),” katanya dalam dialog bertajuk “Kita Bincang: 108 Suara Terkuat Pembangkang?” anjuran Pemuda Amanah.

Kredibiliti Anwar sebagai ketua pembangkang sebelum ini dipertikai segelintir pemimpin PH dan rakan dalam pembangkang seperti Pejuang dan Warisan susulan kegagalan blok itu menjalankan undian belah bahagi bagi bacaan kedua Belanjawan 2021 pada 26 Nov lalu.

Ini kerana hanya 13 Ahli Parlimen pembangkang bangun untuk memohon undian belah bahagi, kurang 15 seperti diperlukan, difahamkan berpunca daripada arahan saat akhir Anwar.

Mengulas lanjut, Shazni berkata, PH pada masa ini perlu terus bergerak dan memperkukuhkan kekuatan yang ada pada pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Ketetapan ini harus dibuat Majlis Presiden PH, jalan untuk mengambil kerajaan sudah tertutup. Berapa lama lagi kita hendak dipermainkan segelintir pihak?,” katanya.

Beliau berkata, persediaan harus dilakukan dengan segera kerana Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mungkin akan membubarkan Parlimen pada bila-bila masa walaupun sebelum ini disebut ia bakal diadakan sekitar Mac atau Mei.

“Kita tidak tahu rancangan mereka. Jadi apa perancangan PH? Kita kena sentiasa bersama dan bersedia dengan senario terburuk,” katanya.