Terhad waktu perniagaan Ramadan, restoran bakal gulung tikar?
Jangka waktu perniagaan restoran yang dibenarkan pada bulan Ramadan sehingga jam 8.00 dikhuatiri akan menyebabkan banyak restoran mengalami kerugian dan gulung tikar selepas Aidilfitri
Sehubungan itu, pengusaha restoran dan kedai makan merayu agar kerajaan memanjangkan tempoh operasi perniagaan Ramadan yang akan bermula sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahap ketiga masih berkuatkuasa.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor Permas Ayob Abd Majid menjelaskan, perniagaan mereka sudahpun banyak terjejas semasa PKP dikuatkuasakan.
“Sekarang ini pun perniagaan kebanyakan ahli kita memang terjejas. Boleh dikatakan kutipan harian hanya sekitar 20% hingga 30%.
“Walaupun kita guna khidmat penghantar makanan seperti Food Panda dan Grab pun, masih sukar juga.
“Sebab itu kalau boleh kita minta kerajaan panjangkan operasi lebih dari 8 malam. Kalau boleh sampai jam 10 malam pun ok,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Alasan perlunya jangka masa berniaga dilanjutkan kerana pemilik kedai tidak dapat mengusahakan bazar ramadan seperti diamalkan pada tahun-tahun sebelum ini. Tanpa bazar Ramadan hanya operasi restoran sahaja yang boleh menanggung kos.
Pada fasa pertama PKP yang berkuatkuasa bermula 18 Mac lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan kedai makan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam.
DBKL kemudiannya menarik balik waktu operasi 6 pagi hingga membenarkan kedai makan 24 jam beroperasi semula.
Namun arahan itu terbatal dan operasi kedai makan 24 jam ditetapkan semula pada 6 pagi hingga 10 malam selepas Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan soalan lazim.
Lanjutan PKP yang memasuki fasa kedua pula menyaksikan tempoh operasi kedai makan dihadkan lagi dari 8 pagi ke 8 malam.
Saranan sama agar kerajaan membenarkan kedai makan beroperasi lebih lama pada bulan Ramadan turut disokong seorang lagi pengusaha restoran di Ampang Jaya, Mohamed Azrin Anver Ali.
Pemilik restoran itu berkata pelanggan akan mudah membeli juadah berbuka puasa dan sahur jika kerajaan membenarkan tempoh operasi 24 jam semula.
“Bukan semua boleh bersahur dan berbuka di rumah terutamanya para petugas barisan hadapan,” katanya, turut mencadangkan pemilik kedai makan mengetatkan lagi langkah pencegahan.
Azrin berkata beliau kini menanggung kerugian waktu PKP dan bimbang ia akan meningkat sehingga 90% jika waktu perniagaan tidak dilanjutkan.
“Jikalau kerajaan masih menetapkan waktu operasi dari 8 pagi hingga 8 malam, ramai di antara pengusaha restoran gulang tikar.
“Bukan semua pemilik bangunan memberi pelepasan atau pengurangan sewa. Kami juga perlu menjaga kebajikan seperti gaji, makan dan minum, tempat tinggal (pekerja) dan sebagainya,” katanya.
Seorang lagi pemilik kedai makan di Sungai Buloh, Rasidah Hamzah berkata mereka tiada pilihan melainkan akur dengan tempoh operasi waktu PKP jika kerajaan enggan memberikan pengecualian.
Pada masa sama, beliau bukan saja susah hati tetapi keliru dan sukar menyesuaikan waktu perniagaannya terutama pada waktu bulan puasa kelak.
“Dengan tempoh masa yang singkat menjelang Ramadan kami cuma mampu berusaha dan tawakal dalam mengharungi detik sukar ini.
“Bila masuk bulan puasa saya lagi susah hati sebab masa singkat sangat berniaga sampai 8 malam. Walhal kami penjual makanan seperti tom yam yang lebih sesuai pada waktu malam.
“Jadi saya menjangkakan perniagaan saya akan lagi merosot. Sekarang pun saya sudah berhentikan enam pekerja,” katanya.
Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Sabah juga melontarkan cadangan sama meminta kerajaan memanjangkan tempoh operasi restoran muslim semula dan sepanjang bulan puasa.
Penasihatnya,Baisul Khan Salman Faris mencadangkan waktu perniagaan restoran yang sesuai bermula 3 petang hingga 3 pagi bagi memudahkan orang ramai membeli makanan berbuka dan bersahur.
“Wajarlah kerajaan mempertimbangkan semula dibuka sehingga 9 malam sehingga bulan puasa dan dipanjangkan ke 3 pagi untuk bulan puasa.
“Tidak semua rakyat mampu masak sendiri di rumah,” katanya. Sabah menetapkan had masa operasi restoran bermula 6 pagi hingga 6 petang.
PKP dilanjutkan ke peringkat ketiga bermula 15 April hingga 28 April bagi membolehkan pandemik Covid-19 terus terkawal.