Tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa Anggota Parlimen Kerajaan yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri akan diberi tanggungjawab sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disifatkan tidak mematuhi etika berkerajaan.
Bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan seperti itu merupakan ‘policy statement’ dan tidak ada sebuah kerajaan boleh membuat kenyataan dasar yang bercanggah dengan peraturan undang-undang dan perlembagaan negara.
“Menteri jangan mendahului PM atau kabinet dalam membuat policy statement,” kata beliau dalam satu kenyataan menerusi media sosial beliau.
Katanya, timbul satu polemik sekarang sama ada MP boleh atau tidak d lantik untuk menerajui GLC.
Kata beliau, tidak ada undang-undang yang boleh menyekat MP daripada memegang GLC dan tidak juga ada peraturan mandotari MP wajib memegang GLC.
“Kekeliruan sekarang timbul kerana adanya satu kenyataan seorang menteri yang dikatakan membuat kenyataan setiap MP yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri akan ditugaskan memegang GLC.
“Saya tidak pasti sama ada menteri tersebut ada membuat kenyataan yang bermaksud sebegitu. Kalau ada maka ia tidak menepati etika berkerajaan.
“Berbalik kita kepada isu MP dan GLC keutamaan yang ada pada kita ialah menempatkan orang yang terbaik untuk memegang sesuatu jawatan. Setengah MP memang mempunyai latarbelakang korporat dan seorang profesional,” kata beliau.
Ujarnya, MP yang seperti itu mampu dan layak untuk memegang GLC dan mereka tidak sepatutnya dihalang daripada menerajui GLC.
“Masaalah yang berbangkit saya kira ialah kerajaan jangan sewenang-wenangnya meletakkan seseorang MP memegang GLC tanpa mengambil kira latarbelakang pengalaman dan keupayaannya .
“Kriteria yang digunakan semata-mata atas pertimbangan politik. Ini tidak wajar sama sekali dan mesti dielakkan oleh kerajaan PN,” katanya.
Pada 13 April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-Undang dan Parlimen, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Anggota Parlimen Kerajaan yang tidak dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri akan diberi tanggungjawab sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Alhamdulillah saya difahamkan semua MP Kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC kerana mereka layak,” kata Takiyuddin, lapor Astro Awani.
Menurutnya, cadangan dikemukakan oleh kementerian yang berkaitan dengan GLC berkenaan manakala pelantikan hanya dibuat selepas mendapat persetujuan perdana menteri.