Usul Undi Percaya rosakkan demokrasi – Zaid
Undi Percaya yang akan diusul Pas pada sidang Dewan Rakyat sesi Mac akan datang bukan sahaja ‘di luar tabie’ tetapi akan merosakkan demokrasi.
Pengerusi DAP Kelantan, Zaid Ibrahim berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mendakwa parti Islam itu berhak berbuat demikian kerana peralihan kuasa tanpa sokongan di Dewan bertentangan Perlembagaan.
“Tak perlu layan Pas, itu karut. Kalau nak ikut Pas saya rasa akan rosaklah demokrasi.
“Hari ini Takiyuddin kata bahawa peralihan kuasa ini bertentangan dengan Perlembagaan, mana dia belajar.
“Ini isu dalaman PH. Kalau PH buat keputusan nak bagi pada cikgu ini pun nanti, itu mereka punya pasallah,” katanya kepada media selepas majlis Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di Kota Bharu, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang hangat diperkatakan mutakhir ini.
Anggota Parlimen Kota Bharu itu juga mengakui tidak pernah berlaku lagi mana-mana parti pembangkang membawa usul ke Dewan Rakyat bagi menyatakan sokongan kepada perdana seperti yang sedang mereka usahakan sekarang.
Oleh itu, menurut Zaid, PH perlu menyelesaikan isu peralihan kuasa dengan satu keputusan tegas dan jelas.
Katanya, apa sahaja yang diputuskan oleh PH perlu dihormati dan tidak perlu dengar cadangan daripada parti lain.
“Tetapi kena buat keputusan, jangan biarkan rakyat dalam keadaan haru-hara dan keliru.
“Jadi saya seru hari Jumaat nanti (21 Februari) empat parti (dalam PH) buat keputusan. Sama ada (keputusan) Mahathir terus berkhidmat sampai 2025 ke atau letak jawatan. Tak perlu lagi undi-undi itu,” katanya.