Kalau ikut logiknya, khususnya kerana Yang Dipertuan Agong belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung hasil temubual baginda dengan 222 Ahli Parlimen yang selesai semalam, ditambah lagi Majlis Raja-Raja pula dipanggil bersidang secara mengejut pagi esok, proses memilih Perdana Menteri baru sepatutnya belum lagi selesai sepenuhnya.
Soalnya, kenapa tiba-tiba Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri interim tiba-tiba mengumumkan sidang khas Parlimen akan diadakan pada Isnin, 2 Mac bagi membuat penentuan memilih Perdana Menteri baru?
Dalam hal ini, bukan saja soal kesahihan sidang khas Parlimen itu yang menjadi pertikaian, malah yang turut dipersoalkan ialah bolehkah Perdana Menteri interim memanggil sidang khas Parlimen diadakan?
Kenapa Tun Mahathir seolah-olah mendahului Yang Dipertuan Agong mengumumkan perkara itu?
Mengapa tidak ditunggu pihak istana mengeluarkan kenyataan rasmi?
Apakah Tun Mahathir dalam hal ini bertujuan menghalang Anwar Ibrahim daripada dilantik oleh Yang Dipertuan Agong sebagai Perdana Menteri untuk mewakili kerajaan minoriti?
Ada maklumat mengatakan, walaupun Anwar dalam undian yang dibuat oleh 222 Ahli Parlimen tidak memperolehi sekurang-kurangnya 112 undi bagi membolehkannya membentuk kerajaan, tetapi beliau dikatakan memperolehi undi tertinggi yang angkanya hampir-hampir mencecah paras minima itu.
Ini bermakna, dengan kedudukan itu dan atas perkenan Yang Dipertuan Agong, Anwar sudah boleh dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan minoriti dengan kedudukannya akan disahkan pada sidang Parlimen yang berikutnya.
Yang penting, Anwar mesti dilantik terlebih dahulu sebagai Perdana Menteri di mana dengan perlantikan itu beliau dipercayai boleh menambah sokongannya menjadi sekurang-kurangnya ada sokongan 112 Ahli Parlimen.
Ternampak di sini bahawa tindakan Tun Mahathir membuat pengumuman mengenai tidak ada sesiapa, baik Anwar atau dirinya atu lain-lain calon, ada mempunyai majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan seterusnya perlu sidang khas Parlimen untuk membuat penentuan, telah melangkaui bidang kuasa Yang Dipertuan Agong.
Kemungkinan apa yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Agong kepada Tun Mahathir mengenai tiada calon memperolehi majoriti yang jelas itu hanyalah sekadar sembang-sembang mereka berdua saja dan bukannya sesuatu yang boleh dianggap rasmi.
Kemudian daripada itu, melihat kepada dirinya semakin kurang mendapat sokongan, terutama selepas blok UMNO dan Pas telah menarik sokongan terhadapnya, hari ini juga Tun Mahathir secara tiba-tiba telah menyatakan persetujuannya jika Muhyiddin Yassin dipilih sebagai calon Perdana Menteri mewakili Bersatu.
Katanya, beliau tidak kisah jika parti lebih menghendaki Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.
Tindakan Tun Mahathir ini tentu saja agak memeranjatkan kerana baru semalam beliau mengumumkan keinginannya membentuk kerajaan perpaduan tanpa parti di mana katanya, jika dilantik semula sebagai Perdana Menteri, beliau akan melantik sesiapa saja yang difikirkan layak sebagai anggota kabinet seumpana sistem Presiden di Amerika.
Kenapa hari ini tiba-tiba saja bellau sedia memberi laluan kepada Muhyiddin pula?
Apakah ini juga dilakukannya sebagai satu lagi tindakan yang bertujuan asalkan dapat menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri? (ShahbudinHusin 27/02/2020)