Rakyat Sabah tidak mudah ditipu janji manis
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin rakyat Kimanis tidak tertipu dengan janji UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Ketika mengulas janji Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi untuk kononnya akan melaksanakan sepenuhnya tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) jika kembali memerintah, Shafie menegaskan, BN terbukti gagal melaksanakan tuntutan tersebut walaupun telah diberi peluang separuh abad memerintah.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) di peringkat Pusat jelas membuktikan kesungguhan mereka menunaikan tuntutan dalam MA63 itu sejak mengambil alih kerajaan daripada BN dua tahun lalu.
“Jangan cakap, 50 tahun sudah. Alhamdulillah, apabila Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan HARAPAN memerintah, Perdana Menteri sendiri mempengerusikan jawatankuasa MA63. Dulu (ketika BN), bukan Perdana Menteri,” katanya kepada media selepas berkempen di Kampung Tengah di Kota Kinabalu.
Beliau sebelumnya memberi contoh beberapa perkara yang dibincangkan kini diperingkat negeri dan persekutuan antaranya berkaitan pindaan perlembagaan, penyerahan semula Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada negeri dan begitu juga pengurusan Pulau Sipadan dan Ligitan dikembalikan kepada Sabah.
Mohd Shafie yang juga Presiden WARISAN menjelaskan mulai tahun ini juga, Sabah akan menerima pemberian khas dari Kerajaan Pusat berjumlah RM53.4 juta berbanding RM26.7 juta setahun tanpa sebarang kenaikan sejak 1970-an.
“Ini menggambarkan kerajaan sekarang lebih baik dari segi menunaikan tuntutan hak Sabah. Secara keseluruhan sebanyak 17 perkara daripada 21 perkara yang dituntut melalui jawatankuasa MA63 sudah diluluskan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie yakin sokongan terhadap WARISAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis terus meningkat.
Bagaimanapun, tegasnya jentera parti terus bekerja menguatkan sokongan terhadap calon WARISAN, Datuk Karim Bujang agar kemenangan berpihak kepadanya pada 18 Januari ini