APA MENTERI KASUT HITAM DAH BUAT...?



Cerita yang saya akan kongsikan ini semua orang tidak tahu. Tetapi wataknya semua orang kenal. Dia tidaklah sepopular Jho Low, dan dia tidak fikir pun bekas perdana menteri mana yang masuk kandang hari ini, yang dia tahu ketika di sebuah forum anjuran Sinar, dia ditanya tentang permintaan paling tinggi oleh golongan ibu dan bapa, dia jawab jujur tanpa rasa bersalah, “Mereka minta ubah kepada kasut hitam.”

Keesokannya, Malaysia bising. Video lapan saat tentang kasut hitam mula bertebaran. Grup Whatsapp saya pun tiba-tiba hang. Mohamad Hassan pun keluarkan video, otak bukan di kasut tetapi di kepala katanya. Saya pun terkejut sambil beristighfar mungkin Datuk tidak boleh bertahan menonton forum tentang idea-idea pendidikan yang tingg-tinggi selama dua jam lebih. Datuk letih, Datuk cuma boleh menonton yang lapan saat itu sahaja. Datuk cuma boleh faham perkataan “kasut” dan “hitam” sahaja.

Sampai ke hari ini, bukan saja Datuk, kawan baik Datuk yang dalam kandang mahkamah itupun hanya ingat kasut hitam sahaja. Menteri kasut hitam yang telah menambah baik 90 peratus sekolah daif di seluruh Malaysia pun mereka lupa. Yang hafal Quran macam kawan baik Datuk yang baru yang berserban di kepala, pun lupa.
Iklan

Menteri kasut hitam ini watak paling penting dalam cerita ini. Selain daripada anak saya sudah tidak perlu basuh kasut setiap minggu, dia beritahu saya di sekolah semua orang seronok. Dia beritahu saya cikgu beritahu dia datang sekolah tak perlu ambil periksa. Datang sekolah cikgu suruh dia cari tahu apa yang selama ini dia tak tahu.

Anak kawan saya yang OKU, termasuklah anak-anak dari ahli-ahli kerajaan Islam di Pantai Timur sana yang juga OKU, jumlahnya 24,998, semuanya sudah boleh masuk sekolah dengan dirai-raikan sepenuhnya. Mereka tak rasa dipulaukan kerana menteri kasut hitam sudah berjaya membuka 10,200 kelas untuk mereka. Menteri kasut hitam punya kerja, sehari dua kelas OKU dibukanya. Gila!

Ada puak cauvinis yang benci dia gila-gila. Katanya dia rasis selepas perkenalkan Jawi. Saya semak. Rupanya Jawi ini sudah dirancang oleh kerajaan sebelum ini. Menteri kasut hitam bawa perkara ini ke kabinet dan bincang. Menteri kasut hitam tahu di kabinet menterinya pelbagai dan menyeluruh. Kabinet putuskan tiga muka surat belajar Jawi. Menteri kasut hitam kena lagi. Mereka kata belajar Jawi ini proses islamisasi, walaupun mereka cuma belajar tulisan Jawi di Jata Negara dan bendera Malaysia.

Rupanya, ini bukan tentang menteri kasut hitam. Saya tengok mereka memang tak suka untuk faham Jata Negara. Mana mahunya, bucu di bendera Malaysia pun mereka tak reti kira.

Tetapi macam biasalah, bekas perdana menteri yang masuk kandang mahkamah itu pun tak akan faham perkara ini. Beliau naik motor ke sana-sini, kemudian main Facebook setiap hari. Tetapi jumlah status di Facebook beliau tak boleh menandingi jumlah pelajar miskin B40 sebanyak 38,282 yang berjaya masuk ke universiti selepas Menteri Kasut Hitam perkenalkan laluan khas ke Universiti Awam untuk pelajar B40.

Tidak cukup dengan itu, menteri kasut hitam ini memperuntukkan RM68.1 juta biasiswa untuk pelajar B40 ini. Menteri kasut hitam mahu semua pelajar miskin ini dapat pendidikan sama macam orang lain. Beliau bagi kuota 60 peratus untuk mereka masuk ke sekolah berasrama penuh dan matrikulasi.

Saya tidak mahulah nak sentuh tentang kuota Mmtrikulasi ini sebab mereka kata kuota ini tidak adil walaupun menteri kasut hitam tidak pernah perkenalkan kuota ini. Menteri mereka yang mereka duduk sepentas berceramah itu juga yang perkenalkan dulu tetapi waktu itu mereka bisu, mereka mati dan mereka tidak akan sedar walaupun mereka direinkarnasi.

Anak-anak mereka, anak-anak kawan-kawan Siti Kasim, cucu-cucu Zahid Hamidi yang darjah 1, 2 dan 3 semuanya pergi sekolah tidak perlu lagi ambil periksa. Anak-anak yang tercicir di kawasan Bagan Datoh, Pekan, dan di semua kawasan di seluruh Malaysia hari ini sudah kembali ke sekolah setelah menteri kasut hitam laksanakan Program Sifar Murid Cicir. Saya dapat tahu dalam Facebook menteri kasut hitam, seramai 4,369 orang anak-anak yang cicir yang dulunya tak pergi sekolah sudah kembali ke sekolah.

Cerita ini cerita rumit. Susah juga nak cerita tentang 50 peratus beban guru yang menteri kasut hitam kurangkan berbanding cerita tentang kolam renang dan hotel. Siapa peduli tentang guru? Tetapi menteri kasut hitam peduli. Tidak tahu apa anginnya tahun ini, beliau telah paksa 15,565 guru duka lara yang selama ini derita berjauhan dengan pasangan berjaya ditukarkan.

Stephen Ng tidak suka beliau, tetapi beliau tidak peduli. Beliau arahkan kementerian buat SOP khas untuk keselamatan guru sebab beliau takut bila cikgu keluar semasa waktu bekerja, kalau jadi apa-apa tiada siapa akan tanggung.

Saya tak boleh cerita semua sebab cerita ini panjang. Saya tengok komen orang yang berbahasa Inggeris dekat Facebook Malaysiakini pun mereka sangat meminati cerita menteri kasut hitam ini.

Saya perhati, mereka semuanya macam orang yang dah bekerja walaupun mereka tak pernah pula letak gambar mereka di profile picture. Entah gambar kucing mana mereka curi.

Kalau mereka tak ada kerja, saya nak beritahu mereka menteri kasut hitam sudah buat perjumpaan sebanyak 16,625 kali dengan pihak industri untuk pastikan graduan TVET confirm dapat kerja. Sebab itu peratus kebolehpasaran TVET mencecah 81.89 peratus. Mereka boleh masuk TVET hari ini dan keluar dengan confirm kerja dah ada. Itu pun kalau mereka sangguplah nak berubah.

Nanti saya cerita lebih lagi tentang menteri kasut hitam. Ini sahaja dahulu buat hari ini.

MUHD IDRIS SANI ISA atau Cikgu Sani ialah seorang guru yang mahu membantu usaha baik Kementerian Pendidikan.