2020, jangan terlalu main politik
Semua ahli politik dinegara ini digesa supaya fokus kepada agenda kemakmuran rakyat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, tempoh berpolitik sudah berlalu selepas berakhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mereka perlu memberi khidmat kepada rakyat seperti diharapkan.
“Malangnya pada hemat saya keadaan politik negara tahun depan dijangka masih lagi sama. Majoriti ahli politik terlalu banyak berpolitik dan dan tuduh menuduh di antara satu sama lain.
“Ada di antara mereka turut mempersoalkan kuasa mengenai jatuh bangunnya pemimpin dan jatuh bangun kerajaan. Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku sebaliknya mereka perlu memimpin dan membawa kemakmuran kepada rakyat,” tegasnya.
Akhramsyah turut mengingatkan, prinsip utama dalam kejayaan politik adalah memastikan kemakmuran rakyat dipelihara.
Sementara itu, pemimpin kanan Amanah Datuk Dr Hasanuddin Mohd Yunus juga mahu ahli politik di negara ini memberikan fokus terhadap kerja masing masing.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berharap keadaan politik dan ekonomi negara pada 2020 akan mengalami perubahan lebih positif berbanding tahun ini.
“Saya sangat mengharapkan semua ahli Kabinet memberikan fokus terhadap kerja masing-masing dan tidak melayan permainan politik pengikut atau lawan politik,” katanya dipetik. – RF8 Media