Wang tidak dituntut: Kerajaan lancar portal
Rakyat Malaysia dijangka dapat mengakses portal semakan dan permohonan Wang Tidak Dituntut (WTD) selewat-lewatnya pada suka pertama tahun hadapan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat semalam.
Tambah Amiruddin, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) kini dalam peringkat menjalankan ujian akses dan ujian kesesakan kepada portal berkenaan.
Ia bagi mengelak sebarang masalah setelah ia dibuka kepada orang awam kelak.
“Data lengkap sudah pun dimasukkan ke dalam portal itu dan sekarang kita sedang jalankan ujian akses dan kesesakan.
“Kami berharap portal semakan WTD ini dapat memudahkan rakyat untuk mendapat maklumat mengenai jumlah wang tidak dituntut yang mereka ada,” katanya.
Sebagai rekod, WTD merupakan sejumlah wang milik mana-mana individu atau syarikat samada dalam bentuk akaun simpanan, dividen, tuntutan insurans, bank draf atau sebagainya.
Di sisi undang-undang, selepas tempoh tertentu, mana-mana wang yang belum dibayar kepada pemiliknya akan didaftarkan sebagai Wang Tidak Dituntut oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan ia boleh dituntut pemiliknya.
Sebelum ini seseorang individu perlu berurusan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) bagi menyemak dan menuntut wang berkenaan.
Sementara itu Amiruddin berkata, setakat 31 Oktober lalu, jumlah serahan wang daripada pelbagai entiti kepada JANM adalah RM10.8 bilion manakala jumlah bayaran balik pula RM2.085 bilion.
“Jumlah terkini WTD adalah RM6.9 bilion,” tambahnya. – RF8 Media