MENTERI YANG PERLU “DITERBANGKAN” JAWATAN KABINETNYA



Hasil laporan PAC mengenai Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof dan projek kereta terbangnya nampaknya sungguh mengejutkan.

Pertama, berkaitan pengunaan dana awam sebanyak RM20 juta yang dilaburkan dalam projek itu, walhal sebelum itu diumumkan ia adalah inisiatif swasta.

Kedua, pengumuman projek kereta terbang itu juga dibuat tanpa pengetahuan atau dimaklumkan kepada kabinet.

Apa sudah jadi ni?

Kenapa seorang menteri berani buat begini?

Tidakkah ini suatu perbuatan menipu kerajaan dan rakyat?

Sudahlah begitu, kereta terbang yang cuba diperkenalkan itu pula bukanlah kereta terbang dalam erti kata sebenar, tetapi hanya dron yang diambil daripada China.

Tidakkah pelik, China mencipta dron tersebut, tetapi Malaysia mengambilnya untuk dijadikan kononnya sebuah kereta terbang?

China yang lebih maju pun belum ada kereta terbang, tetapi Menteri Pembangunan Usahawan yang separuh masak terlebih berangan-angan kononnya kereta terbang boleh memendekkan perjalanan Kuala Lumpur ke Pulau Pinang hanya memakan masa selama dua jam.

Sebelum kerajaan PH lebih dicemuh dengan perangai beliau yang memalukan ini, eloklah jawatan menterinya “diterbangkan” dengan segera.

Lihatnya di media sosial, semua orang mencemuh dan menempelaknya dengan projek kereta terbang itu yang dianggap tidak praktikal serta tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Lagi pun sebagai Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan sepatutnya buatlah banyak usaha untuk membantu dan mengembangkan usahawan dalam pelbagai bidang, bukan sibuk dengan kereta terbangnya itu.

Lagi pun Tun Mahathir Mohamad mahu bangunkan projek kereta ketiga negara, mengapa dia pula kecoh dengan kereta terbangnya?

Adakah beliau mahu sabotaj usaha kereta ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri?(ShahbudinHusin 28/11/2019)