Apakah pendirian sebenar Wee Jeck Seng tentang hudud – Muhyiddin
Pengundi Tanjung Piai yang seronok melihat gelagat calon MCA Wee Jeck Seng berucap menggunakan kalimah Islam wajar bertanyakan apakah pendirian sebenar pemimpin itu terhadap undang-undang hudud yang menjadi perjuangan Pas dalam Muafakat Nasional.
Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta calon Wee Jeck Seng menyatakan pendiriannya berhubung undang-undang berkenaan.
Muhyiddin yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional berkata, MCA suatu ketika dahulu merupakan parti yang paling takut dengan PAS apabila parti Islam itu memperjuangkan undang-undang Islam.
“Saya Islam tetapi PAS kata dia lebih Islam sebab itu dia mahu buat hudud. Barisan Nasional tentang PAS dahulu dan yang paling takut adalah MCA.
“Tetapi sekarang MCA bersama dengan Umno dan PAS. Apa pendirian Jeck Seng? BN sudah rosak bila bersama dengan PAS,” katanya di hadapan pengundi Cina ketika berkempen di Taman Utama, Pekan Nenas malam tadi.
Pada November 2016, kerajaan Barisan Nasional telah memberi laluan kepada (Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dibacakan di Dewan Rakyat.
Tindakan tersebut ditentang MCA yang menegaskan tidak akan menyokong RUU Persendirian bagi memperkasa Mahkamah Syariah itu.
Menurut Muhyiddin, beliau tidak pernah percaya dengan PAS kerana parti itu merasakan mereka lebih Islam daripada orang lain.
“Umno dengan PAS tubuh Muafakat Nasional. Dahulu saya Umno, saya tidak pernah percaya dengan PAS. Tipu punya,” katanya dipetik The Malaysian Insight.
Sekiranya Wee menang dan seterusnya MCA berpotensi untuk kembali kukuh dan mengambilalih kerajaan persekutuan isu hudud pasti akan memecahbelahkan kerajaan BN + Pas berkenaan.
Oleh itu, pengundi Tanjung Piai wajar diberitahu sikap sebenar Wee mengenai hukum Islam itu agar mereka tidak terpedaya mengundi pemimpin yang tidak akan membentuk kerajaan yang kuat kelak.