Tony Pua dapat ganti rugi saman dari Najib
Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee bakal mendapat ganti rugi berhubung injunksi dalam kes saman.
Difahamkan, ia berhubung saman difailkan Najib Razak terhadapnya berhubung klip video mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuiasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355.
Memetik laporan Bernama, Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer baru-baru ini telah mengetepikan injunksi yang diperoleh Najib dalam kes samannya.
Mereka memutuskan bahawa Pua, yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berhak menerima ganti rugi.
Berdasarkan laporan itu, Hakim Hamid Sultan memerintahkan jumlah ganti rugi itu dinilai oleh Mahkamah Tinggi selepas mengetepikan injunksi tersebut. Bekas perdana menteri itu juga diarah untuk membayar kos RM10,000 kepada Pua.
Peguam Surendra Ananth mewakili Pua sementara Datuk Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib. – RF8 Media