PAK WAN..TAK FAHAM KA SINDIRAN TUN.



Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof atau Pak Wan nampaknya tidak sudah-sudah dengan projek kereta terbangnya, walaupun tumpuan utama di kementeriannya itu sepatutnya lebih kepada membangunkan para usahawan dalam pelbagai bidang.
Terbaru, beliau mengatakan prototaip kereta terbang dijangka dapat dilancarkan hujung tahun ini dengan menggunakan teknologi baru.
“Kita harap dapat memperkenalkan projek ini secepat mungkin, termasuk memperkenalkan undang-undang berkaitan dengannya,” kata beliau.

Serentak itu, Pak Wan membayangkan, kereta terbang itu nanti dapat menjimatkan perjalanan hanya selama sejam dari KL ke Pulau Pinang berbanding empat jam menggunakan jalan darat sekarang inu.
“Kita pergi ke Pulau Pinang perlukan empat jam sekarang, pihak swasta dan usahawan sedang berbincang dengan penyedia teknologi tinggi untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang dalam sejam menggunakan kereta terbang.
“Ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat pada 2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, reaksi Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tentang kesungguhan (atau kebodohan?) beliau mahu memperkenalkan kereta terbang itu begitu menikam jantung kalbu.
“Memang ramai orang bercakap mengenai kereta terbang. Bayangkan jika semua orang ada kereta terbang, nanti sesak pula di udara dan polis trafik pun kena terbang sekali,” katanya dengan sinis.
Tambah Tun Mahathir lagi, kereta terbang mungkin diperlukan suatu hari nanti, tapi bukannya hari ini.
Sekarang macam mana Pak Wan?
Faham tak dengan kata-kata Tun Mahathir itu?
Masih mahu meneruskan juga projek kereta terbang itu?
Seperkara lagi, dalam sibuk-sibuk dengan kereta terbang ini, apakah Pak Wan sudah begitu berjaya melahirkan, membantu dan membimbing usahawan melalui kementerian yang diterajuinya?
Apakah dengan keghairahan terlampau yang ditunjukkannya dengan projek kereta terbang itu, bermakna semua usahawan kecil dan sederhana, khususnya Bumiputera di negara ini sudah berjaya dibantunya dan tiada keperluan lagi baginya menumpukan kepada perkara tersebut?
Atau dengan apa yang ditunjukkan oleh Pak Wan ini merupakan satu lagi sebab Tun Mahathir wajib segera merombak kabinet dan membuang mana-mana menteri yang langsung tidak berfungsi? (ShahbudinHusin 17/10/2019)