Warganet tempelak Hadi konon Nik Aziz setuju taawun Pas – Umno
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa taawun siyasi antara Pas – Umno telah persetujui bekas mursyidul am parti itu, allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ketika beliau masih hidup lagi.
Kenyataan itu dibuat ketika menjawab soalan wartawan adakah Nik Aziz akan gembira dengan pemeteraian piagam antara kedua-dua parti itu.
“Oh ya (gembira dengan penyatuan Umno-PAS). Taawun ialah satu istilah yang dah sepakat dengan tok guru Nik Aziz masa beliau masih hidup lagi.
“Kerana kerjasama 70an dahulu tahaluf, coalition (gabungan parti campuran). Kita perlu perkenalan pendekatan baru ialah cooperation (kerjasama antara parti),” katanya dipetik Malaysiakini.
Bagaimanapun, kenyataan Ahli Parlimen Marang itu membangkitkan kritikan. Dalam ruangan komen Facebook portal tersebut, warganet mahu Abdul Hadi berhenti menjaja nama Nik Aziz.
Nor Affan Nordin walaupun bersetuju dengan kerjasama itu mengingatkan agar nama Nik Aziz tidak dipergunakan.
“Tak payah guna nama orang dah meninggal, terutama Tok Guru,” tegasnya.
Pendapat serupa turut disuarakan Siti Fatimah Abd Salam, baginya tindakan menjaja nama Nik Aziz itu seolah-olah membayangkan PAS tidak cukup yakin terhadap kerjasama itu.
“Penyatuan tu baguslah tapi tak payahlah guna nama TGNA. TGNA pun tak boleh nak jawab dakwaan ni.
“Apakah PAS tak cukup yakin dgn sokongn hingga libatkan nama TGNA yang ramai tahu dia tak setuju gabungan ni,” tegasnya.
Bagi Hamdan Yunos pula, tindakan menjaja nama Nik Aziz bagi kepentingan politik kedua-dua parti itu dilihat sebagai satu penghinaan terhadap bekas Menteri Besar Kelantan itu.
Tegasnya, Nik Aziz merupakan sosok paling lantang dan tegas menentang kerjasama politik antara kedua parti itu.
“Satu penghinaan buat wosok yang paling lantang dan tegas menentang kerjasama Pas-Umno sejak 1977 hingga akhir hayatnya.
“Amanatnya jelas, “Jangan dipatuk dari lubang yang sama dua kali”, “Saya akan ludah muka orang yang datang nak minta PAS bersama UMNO”, masih terngiang-ngiang.
“Tiba-tiba hanya 4 tahun setelah pemergiannya, wajahnya dipapar di majlis yang tidak direstuinya.
Ternyata prinsipnya bukan sahaja tak dipedulikan dan dikhianati bahkan dirinya diperguna dan dihina oleh parti yang terajuinya sendiri demi menghalalkan hubungan terlarang,” tulis Hamdan.
Sementara itu, sorang lagi warganet mempersoalkan jika Nik Aziz merestui kerjasama politik itu, mengapa ia tidak dilakukan sejak dulu?
“Alahai lebai.. org dah takde bolehlah kamu cakap macam-macam,” kata Maiza Liza.
Sebagai rekod, Nik Aziz ketika hayatnya dilihat antara pemimpin PAS yang lantang menentang kerjasama antara parti itu dan Umno yang sering dirujuk sebagai kerajaan perpaduan (unity government – UG). – RF8 Media