Tak setuju Anwar jadi PM jangan fitnah
Via WhatsApp
Surat terbuka kepada Hishamudin Rais
Saudara Hishamudin Rais,
Sahabat baikku
Sahabat baikku
Assalamualaikum
Hishamudin Rais adalah sahabat baikku. Kami macam adik beradik. Tetapi di dalam beberapa minggu ke belakangan ini, aku lihat sahabat baikku itu telah menulis di ruang media sosial sebanyak tiga kali yang kulihat menyerang Saudara Anwar Ibrahim secara tidak adil.
Aku berasa resah jika tidak menegur sahabat baikku ini. Tiga artikelnya yang bertajuk berkaitan keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri, pada hematku, walaupun aku menghormati hak Hishamudin dalam prinsip kebebasan bersuara tetapi aku fikir sudah melangkaui garis fitnah dan inuendo yang tidak adil kepada Anwar.
Aku tertanya-tanya sebenarnya mengapa Hishamudin begitu membenci Anwar Ibrahim? Tidak suka Anwar menjadi Perdana Menteri tidak mengapa, tidak menjadi masalah kepadaku. Tetapi kenapa Hishamudin begitu taksub untuk menjatuhkan Anwar dari segi politik dan kehidupan peribadi dengan serangan karekter yang bertubi-tubi sehingga mengheret isteri dan anak perempuan Anwar sendiri untuk menjahanamkan Anwar.
Sebagai sahabat baik kepada Hishamudin dan juga kepada Anwar, aku tidak boleh terus membisu. Lalu di bawah ini aku ingin menyorot balik sejarah lampau untuk sahabatku Hishamudin renung dan bermuhasabah. Cukup-cukuplah menyerang Anwar. Bacalah coretan kisah lama ini yang merupakan sebahagian memoirku yang belum terbit:
” Tajuk Bab: Hishamuddin Rais Pulang Ke tanahair…
Akhirnya, selepas hampir 20 tahun menjadi pelarian politik, Hishamudin mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Ini dinyatakannya kepadaku melalui suratnya dari London.
Berita Hishamudin hendak pulang ke tanahair mendapat liputan akhbar dan televisyen. Misalnya TV3 beberapa kali membuat program di sebelah pagi tentang rancangan kepulangan Hishamudian seperti Countdown pula. Ada temuramah dan ulasan sehingga pihak yang mengarahkan program tentang kepulangan Hishamudin beranggapan seolah-olah kepulangan Hishamudin sebagai kepulangan seorang celebrity pula.
Kamarazaman Yacob teman rapat Hishamudin, Presiden PMUM (UMSU) dan anggota Kelab Sosialis mengambil inisiatif utama dalam membawa Hishamudin pulang ke tanahair dari London. Selepas bebas dari tahanan ISA selama dua tahun di Penjara Kamunting, Taiping, Perak, Kamarazaman Yacob telah pergi ke London pada satu ketika untuk bertemu Hishamudin Rais. Pada suatu hari di Kuala Lumpur Kamarazaman memberitahuku bahawa dia sedang berusaha untuk mengatur kepulangan Hishamudin dan ingin memastikan Hishamudin apabila kembali nanti, tidak akan ditahan di bawah ISA sebaik menjejakkan kakinya semula ke Malaysia.
Kamarazaman memberitahu rancangan untuk membawa Hishamudin pulang perlu ditunda dahulu sehingga Anwar Ibrahim berjaya menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam usaha Anwar untuk memenangi kerusi Timbalan Presiden UMNO yang ketika itu disandang oleh Timbalan Perdana Menteri Encik Abdul Ghafar Baba.
Kata-kata Kamarazaman itu mencetuskan andaian dan anggapan padaku bahawa usaha untuk membawa Hishamudin pulang itu perlu mendapat restu Anwar Ibrahim apabila Anwar sudah menduduki kedudukan orang nombor dua di dalam UMNO dan di dalam kerajaan.
Tidak lama selepas Anwar berjaya mengalahkan Ghafar Baba di dalam Umno dan diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Hishamudin berjaya pulang ke Malaysia.
Aku sahabatnya, antara yang menunggu Hishamudin Rais di Lapangan Terbang Subang. Hishamudin akhirnya sampai kembali ke tanahairnya….”
Demikianlah catatanku dalam Memoirku itu.
Sekian, terima kasih
31 Ogos 2019
Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 62 Tahun
Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke 62 Tahun