Jho Low cuba halang filem The Kleptocrats
Ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low melalui peguamnya didakwa menghantar surat kepada beberapa platform media agar tidak menayangkan filem The Kleptocrats.
Menurut laporan media Amerika Syarikat, The Hollywood Reporter, dokumentari mengenai skandal rasuah 1MDB itu dijadual ke udara di Starz di Amerika Syarikat pada 5 Ogos dan BBC pada akhir tahun ini.
Firma undang-undang yang berpusat di London, Schillings mendakwa The Kleptocrats memfitnah Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dengan mendakwa dia adalah tokoh utama dalam skandal tersebut.
Mereka juga mendakwa penerbitan itu melanggar hak cipta dalam penggunaan rakaman video dan berpotensi memudaratkan prosiding undang-undang yang sedang berlangsung.
Diarahkan oleh Havana Marking dan Sam Hobkinson, The Kleptocrats berkisar mengenai Low dan hubungannya dengan keluarga bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
Bahan promosi untuk filem selama 86-minit itu yang ditayangkan di Kuala Lumpur tahun lepas, menyebutnya sebagai sebuah “dokumentari panjang yang pertama mengenai skandal 1MDB”.
Ia juga mendokumentasikan pembentukan syarikat penerbitan Red Granite, yang berada di belakang filem popular The Wolf of Wall Street pada tahun 2013.
Dokumentari itu merangkumi wawancara dengan wartawan yang membongkar mengenai skandal itu, termasuk dari The New York Times dan The Wall Street Journal (WSJ).
Pembikin filem itu bagaimanapun menegaskan bahawa filem itu telah diselidiki oleh pengamal undang-undang UK dan AS.
Mereka percaya bahawa surat itu hanyalah percubaan untuk menakut-nakutkan penerbit filem berkenaan.