Rafizi bantu bunuh Goliath – Saifuddin Nasution
Kongres Nasional PKR kali ini dilihat sebagai satu acara penting kerana ia adalah kongres pertama diadakan selepas parti berusia 20 tahun itu mendapat kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata ia juga penting kerana Anwar Ibrahim akan membuat kemunculan semula secara rasmi.
“Parti mencatat kemenangan paling manis pada PRU14. Perjalanan yang jauh menuju kejayaan bersejarah kami pada 9 September itu juga menyaksikan kebangkitan semangat kesukarelawan rakyat yang belum pernah berlaku sebelum ini. Sahabat baik saya beritahu saya, adalah kurang bijak bagi kami untuk mengharapkan hasil berbeza apabila kami masih melakukan perkara yang sama dan menggunakan kaedah yang sama.
“Di sini saya mahu mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada (Mohd) Rafizi (Ramli) dan pasukannya di Invoke Malaysia kerana menjadi pengubah permainan,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di Kongres Nasional PKR di Shah Alam hari ini.
Saifuddin Nasuiton berkata Invoke menggembleng semangat sukarelawan dalam kalangan rakyat dan membantu parti itu berkempen secara lebih bijak, menyasarkan kerusi marginal dengan bantuan analisis data.
“Ia telah disimpulkan oleh satu artikel yang diterbitkan oleh Wall Street Journal pada 7 Mei 2018, Malaysia Elections: Opposition Seeks to Slay Goliath with Smarter Campaigning. Terima kasih, Rafizi dan pasukannya, dengan sumbangan anda kami sesungguhnya dapat bunuh Goliath,” katanya.
Saifuddin Nasution menegaskan PKR mengalu-alukan kemunculan semula Anwar sebagai presiden parti dan juga sebagai bakal perdana menteri. Anwar menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam pemilihan PKR.
“Parti ini merasa ‘amat kecil’ berbanding perjalanan jauh dan penuh inspirasi yang ditempuh Anwar ‘dari penjara ke istana’ seperti yang beliau katakan. Bakal presiden kita, sekarang adalah Anggota Parlimen dan juga bakal memegang jawatan perdana menteri,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata beliau berharap kongres itu akan terus berperanan sebagai platform kukuh untuk membahaskan dasar-dasar yang akan membentuk masa depan negara.
“Saya yakin para perwakilan akan terus bercakap yang benar daripada hati mereka dan menzahirkan apa yang mereka rasa adalah yang terbaik untuk negara dan masa depan parti. Janganlah kita lupa alasan mengapa rakyat memilih kita – iaitu berkhidmat untuk rakyat dan menawarkan masa depan yang cerah untuk Malaysia,” katanya.
Turut hadir di kongres hari ini ialah wakil-wakil gabungan Pakatan Harapan (PH) termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.