Anwar buat kejutan bertanding di Port Dickson
Anwar Ibrahim akan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson dalam langkah pertama bakal presiden PKR itu jadi perdana menteri, umum parti itu hari ini.
Kali terakhir beliau mengharungi pertandingan penting seperti ini ialah pada 1993 ketika mencabar Allahyarham Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden Umno, yang meletakkannya hanya setapak di belakang kerusi perdana menteri.
Bercakap pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, setiausaha agung parti Saifuddin Nasution Ismail berkata Anwar membuat keputusan untuk memilih Port Dickson selepas mempertimbangkan semua kerusi yang ditawarkan ahli Parlimen PKR kepadanya.
Anwar juga sudah memaklumkan keputusannya itu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sementara Saifuddin turut memberitahu perkara berkenaan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain, semalam.
The Malaysian Insight semalam melaporkan berdasarkan kepada boleh menang dan menyingkirkan faktor lain, kerusi terbaik untuk Anwar kembali ke Parlimen dalam pilihan raya kecil (PRK) ialah sama ada Port Dickson atau Selayang.
Penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah yang kali pertama menjadi wakil rakyat, akan memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ.
Bagaimanapun, PKR perlu mengambil kira amaran yang dikeluarkan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang berpendapat Danyal sepatutnya kekal di kerusi itu untuk membawa isu berkaitan ketenteraan yang sering terlepas pandang kebajikan pesara tentera.
Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata pimpinan PKR mesti fahaman kehadiran veteran tentera di Parlimen disokong oleh ribuan veteran dan dilihat sebagai wakil mereka, suara yang boleh diharapkan atas hal-hal melibatkan veteran.
Anwar perlu kembali ke Parlimen sebelum beliau dapat mengambil alih tugas daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh dua tahun.