JANJI PALSU ZAHID HAMIDI?




Apabila Zahid Hamidi menjanjikan untuk melantik Ketua Wanita UMNO, Shahrizat Jalil sebagai menteri penuh dengan syarat BN dapat menang cemerlang dengan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya kali ini, ia sebenarnya bolehlah dikira  sebagai janji palsu belaka.

Janji itu bukan saja suatu janji palsu kepada Shahrizat, tetapi juga kepada Wanita UMNO serta seluruh ahli pergerakan itu.

Kenapa ia dikata sebagai janji palsu?

Pertama, kuasa melantik seseorang sebagai menteri adalah kuasa dan hak mutlak perdana menteri, bukannya timbalan perdana menteri.

Dengan itu, atas asas apa Zahid Hamidi boleh berjanji untuk melantik Shahrizat sebagai menteri?

Adakah Zahidi Hamidi sudah mula berangan-angan bahawa kerusi perdana menteri bakal jadi miliknya selepas 9 Mei ini?

Jika BN masih boleh menang lagi dalam pilihanraya kali ini, lebih-lebih lagi dengan majoriti dua pertiga, sudah tentu Najib Razak akan terus kekal sebagai perdana menteri, jadi bagaimanakah Zahid Hamidi boleh membuat janji sedemikian rupa kepada Shahrizat?

Lim Guan Eng pernah dikecam oleh beberapa pemimpin UMNO sebelum ini apabila beliau berjanji untuk meletakkan nama Liew Chin Tong yang bertanding di Ayer Hitam dan Nga Kor Ming di Teluk Intan  sebagai menteri penuh mewakili DAP sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas 9 Mei ini.

Kata mereka, Guan Eng tidak berhak menjanjikan demikian kerana kuasa dan hak melantik seseorang sebagai menteri adalah milik Tun Mahathir Mohamad yang telah dinamakan oleh gabungan itu sebagai calon perdana menteri.

Jika Guan Eng boleh dikecam, mengapakah Zahid Hamidi juga memandai-mandai menamakan Shahrizat sebagai menteri, sedangkan bukan kuasanya untuk berbuat demikian?

Kedua, adakah BN mampu mencapai kemenangan dengan majoriti dua pertiga dalam pilihanraya yang paling getir ini?

Kalau dalam dua kali pilihanraya sebelum ini BN sudah pun hilang majoriti dua pertiga, apakah dengan Pakatan Harapan yang semakin kuat dan diterima rakyat sekarang serta Tun Mahathir sebagai penerajunya, selain beberapa bekas menteri seperti Tun Daim Zainuddin, Rais Yatim dan Rafidah Aziz turut bersamanya dan di samping Najib sendiri sarat dengan pelbagai isu, masalah serta skandal, kemenangan dua pertiga itu mampu diperolehi kembali oleh BN?

Apakah Zahid Hamidi sebenarnya berani menjanjikan kerusi menteri kepada Shahrizat dengan syarat BN mencapai kemenangan dua pertiga kerana beliau tahu dan sedar ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai?

Kenapa Zahid Hamidi tidak menjanjikan sesuatu yang dibawah bidang kuasanya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri?

Sekiranya membuat janji palsu termasuk dalam kategori berita palsu - tidak perlu pihak lain - sebaliknya Shahrizat dan Wanita UMNO sendiri wajar membuat laporan polis mengenai perbuatan Zahid Hamidi itu. 

Adakah patut, sudahlah tidak diberi kerusi untuk bertanding, walaupun terkait dengan skandal lembu NFC, Shahrizat kini diberikan pula janji palsu oleh Zahid Hamidi? (ShahbudinHusin 06/05/2018)
Anda mungkin juga meminati: