SPRM jangan berdiam diri isu pajak tanah tentera – Mat Sabu
Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pendedahan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berhubung penswastaan tanah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, walaupun penafian telah dibuat namun siasatan tetap perlu dilakukan.
“Inilah yang SPRM patut kena siasat. Soal penafian itu lain, tapi SPRM kena siasat segera sebab pendedahan ini oleh seorang bekas menteri kanan.
“Kalau pendedahan macam ini pun tak dipeduli, maka orang akan anggap SPRM ini hanya macam diperalatkan saja,” katanya.
Menurutnya, pendedahan oleh Rafidah itu merupakan perkara yang amat serius.
Sebelum ini, Rafidah menerusi ‘Surat Terbuka Untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak’ yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya menyatakan, perdana menteri selaku menteri pertahanan pada 2008 telah mengesyorkan penswastaan lebih 400,000 hektar tanah ATM kepada sebuah syarikat milik tiga individu dan telah pun diluluskan serta dilaksanakan.