Najib lebih teruk daripada diktator Marcos – Tun Mahathir
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir hari ini menyifatkan salah tadbir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih parah berbanding pemerintahan Marcos.
Dr Mahathir berkata demikian merujuk pemerintahan presiden Filipina Ferdinand Marcos dari 1972 hingga 1985 yang dipenuhi skandal rasuah, pelanggaran hak asasi manusia dan penggunaan kuasa polis serta tentera bagi menyekat musuh politiknya.
“Salah tadbir Najib lebih parah berbanding Marcos. Terdapat bukti jelas bahawa dia (Najib) mencuri duit kerajaan.
“Penyalahgunaan kuasa olehnya diketahui oleh dunia. Malaysia di bawah Najib dikenali sebagai negara kleptokrasi, bukan lagi demokrasi.
“Undang-undang tidak dipedulikan oleh Najib. Rasuah olehnya berleluasa,” katanya melalui satu kenyataan di blog.
Membandingkan sokongan polis dan tentera kepada Marcos di Filipina dulu, Dr Mahathir berkata, ketua polis negara dan ketua angkatan tentera di Malaysia hari ini dilihat menyokong Najib kerana tidak bertindak meski perdana menteri itu melanggar undang-undang.
“Namun apabila dia (Marcos) menyebabkan (seteru politiknya) Aquino dibunuh, ketua polis dan tentera menarik sokongan. Dengan itu rakyat turun ke jalan dan menuntut penyingkiran Marcos sebagai presiden. Gerakan rakyat berjaya kerana Marcos hilang sokongan ketua polis dan tentera.
“Di Malaysia ketika ini, ketua polis dan ketua angkatan tentera merupakan penyokong perdana menteri atau sekurang-kurangnya patuh kepada apa yang dia (Najib) buat. Meskipun beliau jelas melanggar undang-undang, mereka nampak seperti tidak peduli,” katanya.
Dr Mahathir mendakwa, Najib akan guna apa saja cara termasuk taktik kotor untuk menang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi mengelakkan didakwa di mahkamah dan dimasukkan penjara sekiranya kalah.
“Najib tahu kesannya sekiranya dia kalah. Dia akan didakwa di mahkamah dan mungkin akan dipenjara. Oleh itu dia mesti pastikan tidak kalah. Dengan apa cara sekalipun dia perlu menang.
“Salah satu yang mungkin dia akan lakukan sekiranya kalah dengan margin tipis adalah mengisytihar darurat dan menggantung parlimen. Dia akan tubuhkan kerajaan Mageran (Majlis Gerakan Negara) dan memerintah negara dengan ketenteraan.
“Untuk melakukan hal ini dia akan perlukan sokongan terutamanya daripada ketua polis dan tentera,” katanya
Dr Mahathir menegaskan, sekiranya Najib terus berkuasa, negara akan bankrap kerana beban hutang dan penyelewengan.
“Negara ini akan bankrap kerana hutang negara hampir satu trilion ringgit. Najib menjual Malaysia sedikit-demi sedikit untuk membayar hutang. Semua tanah-tanah yang bagus sudah dijual.
“Akan tiba masanya, dia (Najib) tidak mampu dapatkan duit untuk bayar hutang. Apabila masa itu tiba, Malaysia akan jadi negara bankrap,” katanya