Diskriminasi, kronisme punca orang India tidak yakin janji PRU BN
PM Najib Razak berusaha keras meyakinkan kaum India bahawa BN akan bersungguh-sungguh melaksanakan ‘Malaysian Indian Blueprint’ (MIB) sekiranya diberi mandat berkuasa semula selepas pilihan raya umum (PRU) 14.
Namun rata-rata kaum India tidak mempercayai MIB tersebut kerana janji yang hampir sama juga telah ditabur oleh Najib sebelum PRU 13 lalu tetapi kesannya amat terbatas kepada ekonomi kaum itu.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran berkata MIB hanya menarik minat ahli-ahli tegar MIC sahaja dan tidak akan mengubah sokongan majoriti kaum India kepada Pakatan Harapan (PH)
“Ramai masyarakat India tidak yakin kepada MIB yang dilancarkan tahun ini kerana mereka merasa sudah dipinggirkan sejak 60 tahun lalu. Bagi saya BN hanya akan dapat meraih sokongan dari ahli MIC walaupun jumlah ahli-ahli seperti ini semakin berkurangan.
“Banyak isu masyarakat India belum selesai. Misalnya, isu estet GATCO, dana untuk sekolah-sekolah Tamil dan wang untuk peniaga-peniaga India memulakan perniagaan tidak selalu sampai ke tangan orang yang memerlukannya. Kalau sampai pun, wang tinggal sedikit sahaja.
“Pelajar-pelajar yang cemerlang tidak ramai yang menerima bantuan selain sektor awam yang kurang mengambil pekerja dari kalangan masyarakat India,” kata Manogaran kepada Suara pakatan daily.
Beliau yakin BN sukar untuk memperolehi sokongan kaum India sebagaimana sebelum PRU 2008 kerana kaum itu kini semakin celik politik.
“Sekarang ramai pengundi masyarakat India sudah celik politik. Hanya tinggal pengundi di kawasan estet sahaja yang kuat sokong BN.
“Juga insiden yang berlaku pada awal September lalu di mana seorang pengarang dari sebuah suratkhabar berbahasa Tamil (yang telah mengkritik kerajaan) dikasari telah membuat orang India sangat marah, kerana sehingga hari ini tiada tindakan diambil ke atas orang yang memukul pengarang tersebut,” tambahnya.
Manogaran yakin masyarakat India akan meningkatkan sokongan ke atas PH berbanding dengan PRU13 lalu kerana sudah terlalu lama masyarakat India dikecewakan dengan janji-janji yang diberi oleh BN.