Pas sahkan tiada rundingan, Anwar diperdaya?
Kenyataan Ketua Penerangan Pas Nasruddin Hassan Tantawi bahawa tiada rundingan kerjasama politik sedang berlaku antara partinya dan PKR merupakan tamparan hebat kepada kredibiliti Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan pemimpin yang menyokongnya.
Azmin sebelum ini berkata beliau masih meneruskan rundingan dengan Pas selepas Pakatan Rakyat bubar pada 2015. Ogos lalu, Azmin mengesahkan rundingan dengan Pas direstui oleh majlis pembuat keputusan tertinggi PKR, iaitu Biro Politik.
Rundingan tidak rasional
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kemudiannya menyelar rundingan tidak rasional dengan Pas itu dan menyenaraikan nama-nama pimpinan pro Azmin yang dinamakan sebagai geng kartel.
Sebahagian daripada mereka adalah peguam Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang didakwa Rafizi mungkin bertanggungjawab memberi maklumat kurang tepat kepada bos PKR itu sehingga munculnya kenyataan kurang matang Anwar dari Sungai Buloh mengesahkan Azmin diberi mandat merundingkan kerjasama politik PKR – Pas menuju pilihan raya umum (PRU) ke 14.
Menjawab tuduhan Rafizi berhubung kekurangan maklumat berikutan pemimpin utama PKR sukar bertemu Anwar melainkan para peguamnya, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei menegaskan ‘bos besar PKR’ itu mempunyai maklumat secukupnya dan “dinding penjara tidak sampai menjadi penghalang kepada maklumat yang beliau ada” .
Bagaimanapun, segala-galanya terbongkar lewat penafian Tantawi:
“Sehingga hari ini tidak ada rundingan rasmi Pas dan PKR, yang ada pun apa yang berlaku bersifat pertemuan dan ziarah,” katanya menjawab soalan wartawan dalam sidang media di Pejabat Agung Pas pada 5 September lalu.
Pembohongan terancang
Sudah terang lagi bersuluh, puak kartel selama ini menyebarkan pembohongan kepada ahli PKR bahawa rundingan sedang berlangsung. Realitinya, Azmin sejak 2015 tidak pernah bertemu Hj Hadi merundingi kerjasama politik atau pembahagian kerusi.
Apakah perlu ahli PKR memberi lagi peluang kepada Azmin untuk berunding selepas 2 tahun gagal bertemu Hj Hadi? Kesimpulan yang mudah ialah Hj Hadi tidak berminat bertemu Azmin dan memang tidak mahu menjalinkan kerjasama dengan PKR.
Oleh itu, untuk apakah sebahagian pimpinan PKR terus memperdaya Anwar kononnya rundingan sedang berjalan? Adakah untuk membenarkan Azmin mempertahankan kerusi menteri besarnya melalui sokongan ADUN-ADUN Pas?
Malangnya, tindakan itu pun tidak diperkenankan oleh Hadi. Percubaan untuk menuntut autonomi bagi negeri Selangor, Kedah dan Kelantan dengan membenarkan Pas berkerjasama bersama Pakatan Harapan ditolak mentah-mentah oleh presiden.
Tindakan disiplin
Penafian Pas itu sepatutnya mengerakkan lembaga disiplin PKR mengambil tindakan tegas ke atas Azmin yang bersungguh-sungguh meyakinkan pemimpin lain bahawa beliau sedang berunding. Sepatutnya Azmin diberi amaran keras atau digantung keahlian kerana usahanya itu menyebabkan berlaku perpecahan serius dan ketegangan dalam PKR.
Sekiranya tiada tindakan diambil maka pemimpin lain selepas ini akan mudah mereka-reka cerita karut untuk dipercayai ahli dan pemimpin PKR bagi memenuhi kepentingan diri mereka.
Hulubalang Azmin
Kepada ahli biasa PKR, penafian Pas itu sudah terang lagi bersuluh untuk mereka mempersoalkan kredibiliti orang kanan Azmin seperti Zuraida, Tian Chua, Dr Afif, Latifah Koya dan lain-lain yang menyerang habis-habisan pasukan Rafizi tempoh hari.
Tambahan pula hulubalang-hulubalang kartel itu tidak pula menafikan kenyataan Tantawi sebagaimana mereka mengutuk Rafizi.
Kenyataan Tantawi adalah rasmi daripada Ketua Penerangan Pas. Sekiranya hulubalang Azmin bercakap benar maka kenyataan itu wajib disanggah. Mereka perlu berkata rundingan dilakukan diperingkat tertinggi kepimpinan Pas dan PKR. Tantawi adalah pemimpin lapisan tengah dan tidak mengetahui perkara-perkara yang amat rahsia. Namun malangnya para hulubalang Azmin hanya berdiam diri.
Maka ahli bawahan sepatutnya tidak lagi mempercayai ucapan mereka kerana berjuang ke arah yang salah dan merugikan parti. Kenyataan Pas itu juga seharusnya menjadi pencetus kesedaran kepada penyokong Azmin untuk meninggalkan kartel.
Mereka tidak perlu mendukung perjuangan Azmin menentang pemimpin-pemimpin lain, sebaliknya tumpukan usaha untuk menumbangkan BN dan menukar kerajaan dalam PRU 14.
Kemenangan kepada Rafizi
Manakala bagi pasukan Rafizi yang mempertahankan presiden parti Dr Wan Azizah, penafian ini memberi kemenangan besar kepada mereka. Pasukan ini akan diiktiraf oleh pimpinan utama Pakatan Harapan (PH). Pada masa depan pasukan Rafizi akan dirujuk dalam sebarang rundingan kerusi dan jawatan politik.
Malah sekiranya PH benar-benar berjaya menakluki Putrajaya maka pasukan Rafizi wajar diberi sebahagian besar jawatan dalam kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan nanti.
Sementara geng kartel wajib disudutkan ke Selangor sahaja. Mendapat jawatan kerajaan negeri dan tidak perlu diberikan jawatan penting di peringkat pusat. Hal itu wajar kerana kesetiaan mereka kepada PH diragui.
Mereka masih menaruh hati kepada Pas dan boleh berubah arah sokongan pada bila-bila masa. Tentunya pemimpin seperti itu tidak layak menganggotai kabinet dan menjawat menteri pusat.
Kartel bermati-matian mempertahankan Selangor maka mereka sepatutnya meneruskan hidup di Selangor, bukan di negeri-negeri lainnya.
______________________________________________________________________________
Artikel ini adalah pandangan penulis dan bukannya pendirian rasmi wrlr.com