PRU 14 ditangguhkan hingga isu 1MDB selesai?
Terdapat kemungkinan pilihan raya umum (PRU) 14 akan ditangguhkan sehingga isu bayaran pampasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) selesai pada Disember 2017.
Menurut Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, selagi masalah 1MDB belum diselesaikan, PRU tidak boleh diadakan kerana persepsi rakyat yang buruk terhadap BN dan kegagalan kerajaan membayar pampasan pada tarikh akhir 31 Julai lalu.
“Masalah 1MDB telah diketahui oleh para pelabur di serata dunia dan Kerajaan BN patut menyelesaikan masalah ini tanpa membebankan rakyat.
“Kebetulan pula, harga petrol RON95 telah dinaikkan sekali lagi dari RM2.07 kepada RM2.12 pada Khamis lalu. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini harga minyak asyik naik walaupun saya tengok harga pasaran minyak di dunia boleh dikatakan sama sahaja iaitu sekitar A$51 setong,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering.
Nizar berkata, penduduk di kawasan bandar arif mengenai isu 1MDB akan mengundi Pakatan Harapan kerana mereka tahu masalah itu akhirnya akan membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang sebagai sumber dana membayar hutang.
Bagi pengundi di kampung pula, katanya, kenaikan harga minyak serta Cukai Barangan dan Perkhidmatan adalah senjata kuat PH untuk menumpaskan BN.
“Saya lihat hari ini masyarakat Melayu pun sudah sedia mengundi Pakatan. Di Perak, PH mampu mencapai prestasi yang baik. Begitu juga di negeri-negeri lain di Semenanjung. PH sudah siap sedia dan sedang menunggu pembubaran Parlimen,” ujar Nizar kepada Suara pakatan daily.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Albert Kwok mempersoalkan bayaran AS$350 juta yang dibuat oleh 1MDB pada 11 Ogos berasal daripada sumber yang diragui.
“Rakyat sekarang ingin tahu dari manakah datangnya wang AS$350 juta untuk membuat bayaran tersebut? Isu ini telah menggugat keyakinan masyarakat usahawan kerana sebelum ini, 1MDB telah gagal membuat sebarang bayaran pada 31 Julai lalu tetapi pada 11 Ogos, sebahagian daripada bayaran dari jumlah keseluruhan yang patut dibayar iaitu AS$603 juta telah dibuat,” katanya
Albert menegaskan walaupun bayaran telah dibuat, satu ‘insiden’ telah berlaku iaitu kegagalan membayar pada tarikh yang ditetapkan iaitu 31 Julai 2017 dan pelabur asing hilang keyakinan apabila ada ‘insiden’ kegagalan membuat bayaran. Beliau juga berharap 1MDB tidak dikenakan penalti lewat bayar.
1MDB perlu membuat satu lagi bayaran pada 31 Disember 2017 dan selepas pembayaran itu kerajaan BN akan lebih selesa dari segi kewangan untuk mengadakan PRU dan berbelanja besar untuk memberi ‘gula-gula’ kepada pengundi.