Tawan Selangor: Pas akan hilang sokongan pengundi Melayu, bukan Melayu
Hasrat PAS untuk bertanding di beberapa kerusi PKR di Selangor menunjukkan parti Islam itu tidak serius menumbangkan Barisan Nasional (BN), kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ditemui di tepian forum tentang pelaburan China di ibu negara, Adun Kajang menjawab PAS Selangor hari ini yang mengumumkan mereka pada pilihan raya umum ke-14 akan bertanding di Kajang dan Bukit Antarabangsa, yang diduduki Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, meskipun PKR sedang berusaha memujuk PAS.
Wan Azizah berkata matlamat utama pembangkang ialah menumbangkan BN dan jika pembangkang berpecah, BN akan menang.
“Kalau pendirian PAS dilihat menyokong Umno, maka mereka akan kehilangan sokongan bukan sahaja dari masyarakat bukan Melayu tetapi juga masyarakat Melayu.”
Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata PAS sebenarnya sangat berminat bertanding di banyak kerusi di Selangor, tetapi memberikan beberapa kerusi kepada PKR.
Langkah itu termasuk membenarkan Azmin, yang juga menteri besar Selangor, bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada pilihan raya umum 2008 dan 2013, katanya.
Adun Sabak itu berkata PAS akan meletakkan calon di sekurang-kurangnya 42 kerusi negeri di Selangor pada PRU14.
Beliau berkata PAS juga bersedia menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.
Beliau menambah keputusan untuk bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi negeri di Selangor diluluskan kepimpinan pusat PAS, dan beliau yakin partinya akan berjaya di kerusi berkenaan.
Pada pilihan raya kecil Kajang 2014, Wan Azizah memenangi kerusi negeri itu dengan majoriti 5,379 undi.
Pada PRU13, Azmin bertahan di kerusi Bukit Antarabangsa dengan marjin 4,044 undi. Azmin menang kerusi Parlimen Gombak pada 2008 dan mengekalkan kerusi itu pada PRU13 dengan majoriti 4,734 undi.