‘Najib beri kami rasa hidup di negara miskin, tidak berpendidikan’ – Zaid
Ahli DAP Datuk Zaid Ibrahim menggelar Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor “tukang angguk” yang cuba menangkis cabaran Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat di forum “Nothing to Hide 2.0”.
“Ku Nan cuma ‘tukang angguk’, dia akan mengangguk apa sahaja kata-kata bosnya,” kata bekas menteri undang-undang itu kepada FMT, dan menambah Najib tidak akan berani menyahut cabaran bekas perdana menteri itu.
Forum yang dirancang Pemuda PPBM Shah Alam pada 13 Ogos ini bertujuan untuk menyediakan platform kepada Dr Mahathir dan Najib menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilempar terhadap mereka.
Beliau berkata Dr Mahathir “tidak betul” kerana mencabar Najib berdebat, seperti yang didakwa Tengku Adnan, kerana Dr Mahathir sudah banyak menyumbang kepada negara.
“Tun Mahathir beri peluang kepada orang Melayu merasai apa makna kejayaan. Najib beri kami rasa apa makna kehidupan di negara seperti negara Taliban – miskin, tidak berpendidikan dan ganas sekaligus,” katanya.
Sebelum ini, Tengku Adnan menuduh Dr Mahathir “tidak betul” kerana mencabar Najib berdebat dan beliau tidak tahu apa yang ingin dicapai oleh pengerusi Pakatan Harapan itu dalam perdebatan tersebut.
“Cukup-cukuplah. Mengapa terus mengganggu perdana menteri? Kerajaan sekarang sedang ditadbir oleh Najib dengan caranya sendiri.
“Negara ini tidak ada masalah, negara ini makin maju,” kata menteri wilayah persekutuan itu sambil menambah Dr Mahathir mungkin kecewa kerana anaknya Datuk Seri Mukhriz tidak dipilih sebagai naib presiden Umno pada pemilihan parti lalu.
Zaid bagaimanapun tidak setuju dengan dakwaan Tengku Adnan bahawa negara ini tidak ada masalah sambil menyifatkan komen itu sebagai “tidak bertanggungjawab”.
Bekas menteri itu berkata Dr Mahathir marah kerana pertumbuhan negara tidak berubah, bukan kerana Mukhriz tidak dipilih sebagai naib presiden Umno.
“Malaysia yang dia bina sekarang negara miskin yang dikendalikan pencuri,” kata Zaid