INILAH YANG DIKATA LEBIH UMNO DARIPADA UMNO



Wah...wah...wah...hebatnya Nik Abduh Nik Aziz sekarang ini.

Kata beliau, rakyat tidak harus membelakangkan pemerintah dengan mendengar hasutan yang memfitnah pemimpin.

"Mereka berjaya menyebarkan ketidakpuasan melalui fitnah dan pembohongan sehingga tidak lagi mensyukuri nikmat keharmonian sedia ada," demikian antara kata-katanya.

Apa yang fitnah serta bohongnya terhadap pemimpin dan pemerintah?

Adakah 1MDB itu suatu fitnah dan bohong? Apakah Jho Low yang merupakan dalang mencuri duit suatu 1MDB fitnah dan bohong? 

Adakah wang RM2,600 juta dalam akuan bank Najib Razak juga fitnah dan bohong? Adakah anak tiri Najib membeli apartment mewah ratusan juta ringgit di New York dan London suatu fitnah dan bohong?

Adakah keluarga Najib bermewah, membazir dan membeli-belah di sana-sini fitnah dan bohong? Adakah isteri Malaysian Official 1 menerima hadiah barang kemas, termasuk rantai dan loket berwarna merah jambu dengan jumlah keseluruhan RM128 juta juga suatu fitnah dan bohong?

Jika bukan fitnah dan bohong, apakah mengkritik dan mendedahkan kecurangan serta salah laku pemimpin sebagai tanda tidak bersyukur?

Apakah oleh kerana pemimpin yang ada tuli dan pekak terhadap segala teguran, malah terus bangga dengan kemungkaran serta mendatangkan beban, maka menyeru agar rakyat menukar kerajaan juga boleh ditakrif tidak bersyukur?

Adakah sebagai rakyat kita hanya mesti diam dan akur saja meskipun rompakan dan pencurian wang negara banyak berlaku di depan mata?

Tidak syak lagi, kenyataan ini tentunya, bukan saja amat menggembirakan Najib, tetapi juga semua pemimpin UMNO yang lain.

Pemimpin UMNO ketika ini pun ada yang segan-segan untuk bercakap sedemikian rupa lantaran mereka tahu hakikat yang sebenarnya mengenai Najib dan kerajaan, cuma ramai yang bertahan kerana jawatan, kedudukan, wang dan semata-mata "cari makan".

Adakah Nik Abduh juga seorang yang "cari makan" atau sebagai pemimpin Pas yang hari-hari bercakap tentang Islam dan Al-Quran, beliau merasakan ada pahala dengan berkata demikian?

Di sebalik Pas masih mengatakan UMNO musuh mereka dan mereka mendakwa kononnya tetap dengan perjuangan untuk menumbangkan UMNO, kata-kata pemimpinnya jelas "lebih UMNO daripada UMNO".

Di ketika ramai orang UMNO tidak lagi bersama UMNO atau jadi kurang UMNO, Nik Abduh dan sebahagian lagi pimpinan Pas sebaliknya jadi lebih UMNO daripada UMNO.

Mereka juga, malah dengan sendirinya membuktikan sudah jadi kurang Pas daripada mendokong perjuangan Pas itu sendiri. Seolah-olah mempertahankan Najib dan pemerintah lebih utama dan wajib.

Kenapa tak masuk atau bergabung saja dengan UMNO dan masih salahkah tanggapan Pas dan UMNO sudah sehati sejiwa? (ShahbudinHusin 18/07/2017)