BOLEHKAH SEMPENA RAMADAN INI NAJIB BERSIKAP JUJUR DAN BERKATA BENAR?





Beberapa hari lalu, sempena Ramadan, Najib Razak menyeru umat Islam agar menjaga tutur kata dan mengelak tuduh-menuduh atau menyebarkan fitnah.

Dalam catatan di blognya, beliau berkata umat Islam seharusnya  mengambil peluang untuk menghayati Ramadan yang penuh keberkatan dan keampunan ini.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa tuduhan liar atau menyebarkan fitnah adalah perbuatan yang merugikan serta boleh membawa kepada kemusnahan.

Itu pesan yang dititipkan Najib sebelum Sarawak Report muncul dengan pendedahan beserta beberapa bukti tentang bayaran sebanyak RM9.5 juta melalui akuan peribadinya kepada peguam, Shafee Abdullah yang dilantik kerajaan sebagai ketua pendakwaraya dalam kes liwat 2 membabitkan Anwar Ibrahim.
Dalam kes perlantikan Shafee sebagai ketua pendakwaraya mengendalikan kes itu di Mahkamah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri pernah  memberitahu Parlimen pada 11 Mac 2015 bahawa bayaran yang dikenakan kepada peguam berkenaan cuma RM1,000 sahaja.

Dalam mempertahankan perlantikan Shafee itu, Najib turut memberitahu bahawa kes liwat 2 itu tidak melibatkan UMNO, kerajaan atau dirinya, sebaliknya adalah antara Saiful Bukhari selaku pengadu dengan Anwar semata-mata.

Tetapi, dengan pendedahan Sarawak Report bahawa Najib didapati membayar RM9.5 juta kepada Shafee, apakah tujuan wang sebanyak itu dibayar kepada seorang ketua pendakwaraya melalui akuan peribadi Najib sendiri?

Benarkah kes liwat itu hanya semata-mata kes antara pengadu iaitu Saiful dengan Anwar saja?

Jika ia hanya kes yang melibatkan Saiful dengan Anwar, buat apa Najib sanggup membayar sehingga RM9.5 juta kepada Shafee?

Ataukah bayaran itu melibatkan tugas-tugas perundangan lain yang perlu dilakukan oleh Shafee bagi pihak Najib?

Dari segi moral dan pertanggungjawaban, berbanding Shafee yang menerima bayaran lumayan itu, beban untuk bersikap jujur, berkata benar dan berterus-terang adalah lebih memihak kepada Najib yang membuat pembayaran tersebut.

Ia bukan saja kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri, tetapi juga kerana kadangkala Najib terlihat begitu licik bermain dengan kata-kata seperti menasihati rakyat menjaga kata-kata, tidak membuat tuduhan melulu dan mengelakkan fitnah, semata-mata untuk menjelmakan dirinya terlihat suci dan bersih.

Tambahan lagi, wang dalam akuan peribadi Najib itu juga didakwa bersumberkan daripada dana SRC International yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB sebelum ia dipindahkan ke Kementerian Kewangan.
Nah...sekarang Sarawak Report sudah tampil dengan beberapa bukti mengenai apa yang dituduhnya dan pelbagai pihak juga sudah pun membuat laporan polis, apakah Najib berani tampil dengan kata-kata yang jujur, benar serta berterus-terang  jika apa yang dituduh oleh Sarawak Report itu sebagai fitnah dan tuduhan melulu?

Beranikah Najib, sempena Ramadan yang mulia ini, di sebalik menyeru dan menasihati rakyat agar menjaga kata-kata, tidak membuat tuduhan melulu atau menyebarkan fitnah, beliau sendiri menunjukkan teladannya terlebih dahulu dengan tampil bersama wajah kebenaran untuk menangkis dakwaan terhadapnya?

Apakah gunanya  jika Najib sekadar menyeru orang lain berbuat kebaikan, tetapi diri sendiri bersifat sebaliknya atau jika ada dakwaan yang disertakan dengan bukti-bukti tertentu, beliau hanya membisu dan membatukan dirinya saja?

Jika nasihat menjaga tutur kata, tidak menuduh melulu dan tidak menyebarkan fitnah itu merupakan suatu kebaikan, apakah kurangnya kebaikan jika Najib berani tampil dengan jujur, berterus-terang dan berkata yang benar dalam soal bayaran RM9.5 juta yang dibuatnya kepada Shafee itu? (ShahbudinHusin 03/06/2017).