PKR – Pas kini musuh politik
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata parti itu sedia berdepan pertandingan tiga penjuru dengan PAS pada pilihan raya umum akan datang sekiranya situasi itu tidak dapat dielakkan.
“Kalau ini keputusan PAS, ini adalah pilihan mereka. Sebagai sebuah parti politik, kami bersedia dengan sebarang kemungkinan.
“Jika tak dapat dielakkan kami akan berdepan mereka,” kata Menteri Besar Selangor itu kepada wartawan ketika menghadiri satu acara di sebuah masjid di Sungai Choh, Kajang hari ini.
Beiau berkata, rundingan kerusi bersama PAS telah ditutup apabila parti Islam itu memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
“Pintu itu ditutup oleh PAS,” katanya.
Azmin berkata beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membina semula hubungan kedua-dua parti. Ini kerana katanya, Hadi kini sedang berehat sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan.
“Saya tidak mempunyai rancangan untuk menemui Hadi dalam masa terdekat. Saya dimaklumkan dia berehat sebagai persediaan untuk pembedahan minggu ini,” katanya.
Beliau juga mendedahkan butiran lanjut berhubung mesyuarat dengan tiga Exco PAS dan Pesuruhjaya PAS negeri, Sallehin Mukhyi pagi ini.
Empat pemimpin itu, katanya, memberitahu kepadanya bahawa kerjasama politik itu hanya akan berakhir pada pilihan raya umum akan datang dan bukan pada masa ini.
“Menurut tiga exco itu, penamatan tahaluf siyasi bermula dari pilihan raya umum ke-14 dan bukan pilihan raya umum ke-13,” katanya.
Azmin menegaskan beliau perlu bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang baru pulang dari New York, untuk membincangkan langkah seterusnya.
Exco PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Azmin.
Di Sungai Choh hari ini, dua Exco PAS, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib juga hadir dalam majlis itu.
Azmin dan Ahmad Yunus juga dilihat ketawa apabila bercakap mengenai beberapa perkara di atas pentas. Manakala Zaidy mengambil gambar bersama Azmin dan Ahmad Yunus ketika mereka makan tengah hari.
Semalam, Majlis Syura PAS mengekalkan keputusan di muktamar parti Islam itu untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR.
Ini mendorong Azmin memanggil exco PAS Iskandar Abdul Samad, Ahmad Yunus, Zaidy dan Sallehin untuk memberi penjelasan pagi ini mengenai kedudukan PAS dalam kerajaan negeri.